Alyah cetus idea The Fabulous Cat buat 'comeback'

Alyah cetus idea The Fabulous Cat buat 'comeback'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan The Fabulous Cat iaitu Cat Farish, 51, memaklumkan idea untuk buat ‘comeback’ dicetuskan Datin Alyah yang juga bekas anggota kumpulan itu.

Menurut Cat, Alyah juga yang buat perancangan untuk menghidupkan semula kumpulan The Fabulous Cat yang sudah sekian lama menyepi dalam dunia hiburan.

“Dari ramai-ramai bekas ahli, idea ini datang daripada Alyah dan ia macam magik. Dia terus bentangkan perancangan untuk The Fabulous Cat kembali dalam industri hiburan.

“Jadi sekarang, kami serahkan kepada Alyah. Saya pun fikir bila umur kami sudah meningkat bila lagi nak ‘all out’?

“Peminat pun ramai yang minta kami buat ‘comeback,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Ameera Beauty hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu, kata Cat, The Fabulous Cat merancang untuk buat ‘comeback’ untuk mengimbau kenangan bersama peminat yang pernah membesar bersama lagu-lagu mereka.

Katanya, ramai peminat yang tidak mengetahui Alyah juga salah seorang anggota asal kumpulan terbabit.

“Kami mahu buat ‘comeback’ untuk mengimbau kembali bersama peminat lama yang dulu masih bersekolah tapi sekarang sudah berkerja dan berusia.

“Selama ini pun ada yang tidak tahu Alyah salah seorang ahli Fabulous Cat, kebanyakannya hanya kenal penyanyi Zizi Kirana atau Farhana saja,” katanya.

Dalam pada itu, kata Cat, kemunculan semula kumpulan The Fabulous Cat yang sudah lama menyepi itu juga untuk memastikan dirinya kekal relevan dalam industri muzik tanah air.

Malah buat masa ini, mereka merancang membuat persembahan di acara kecil sebelum kembali dengan konsert berskala besar.

“Kalau boleh sebelum nak adakan konsert, kami mahu mendapatkan keserasian semula dengan membuat persembahan di majlis perkahwinan dan mana-mana anugerah.

“Jika nak beritahu orang ramai mengenai kemunculan semula ini, kami tak nak terlalu singkat untuk adakan konsert takut tiada promosi dan sebagainya.

“Kami ada buat persembahan di acara privasi baru-baru ini dan Alhamdulillah, orang suka. Setakat ini, kami sudah ditawarkan sebanyak enam persembahan,” katanya.

Terdahulu, perkongsian kumpulan The Fabulous Cat yang memaparkan mereka merakamkan semula lagu Papa Jahat turut mencuri perhatian netizen.

Selain Cat dan Alyah, The Fabulous Cats turut dianggotai Hairool, Afif, Adeep, Ellie dan DJ Sumo.

Kumpulan ini juga aktif dari 2006 hingga 2015 dengan rangkaian lagu popular seperti Rimas, Lari, Bawa Ku Terbang, Cinta Kosmik dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top