am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Operasi yang menggempur kawasan Selayang Baru, Selangor bagi menghapuskan ‘lokasi panas’ warga asing di sekitar Pasar Selayang dan Pasar Tani Selayang, Sabtu lalu diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor.
Serbuan berkenaan membabitkan kerjasama tujuh agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pada operasi itu, pihaknya hanya memeriksa dokumen membabitkan warga asing.
Katanya, ia bagi memastikan warga asing diperiksa mempunyai dokumen yang sah termasuk kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Mana-mana warga asing yang mempunyai dokumen yang sah termasuk kad UNHCR, tiada kesalahan imigresen yang boleh diambil tindakan.
“Bagi aktiviti perniagaan yang dijalankan adalah di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya, di sini hari ini.
Semalam, Harian Metro melaporkan kawasan Selayang Baru, Selangor, ‘dikepung’ tujuh agensi penguatkuasaan bagi menghapuskan koloni warga asing sekitar Pasar Selayang dan Pasar Tani Selayang.
Dalam operasi bersepadu bermula jam 8 malam, seramai 1,116 individu diperiksa secara menyeluruh, diikuti penahanan 843 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 35 wanita.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam yang resah dengan lambakan warga asing serta aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan.
Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 53 tahun disyaki melakukan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa serta pemegang kad yang tidak diiktiraf.
© New Straits Times Press (M) Bhd




