Riyadh: Amanda Anisimova melakukan kebangkitan luar biasa untuk menewaskan Iga Swiatek 6-7 (3/7), 6-4, 6-2, awal pagi tadi, sekali gus menempah tempat ke separuh akhir WTA Finals di Riyadh.
Melakukan penampilan sulung dalam kejohanan berprestij itu minggu ini, Amanda menamatkan saingan Kumpulan Serena Williams di tempat kedua di belakang Elena Rybakina.
Elena melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan rekod sempurna 3-0, selepas menewaskan pemain gantian dari Rusia, Ekaterina Alexandrova, 6-4, 6-4, lebih awal pada hari sama.
Kemenangan dramatik ke atas Iga itu menyaksikan Amanda memperbaiki rekod tiga setnya musim ini kepada 15-3, sekali gus mencatat kemenangan ke-10 menentang pemain kelompok 10 terbaik dunia tahun ini.
“Lucu sebenarnya, ibu saya selalu cakap: ‘Kamu tahu tak kamu dah menang banyak perlawanan tiga set tahun ni? Kamu memang hebat’. Saya terfikir juga mengenainya. Lawan Iga hari ini memang sangat sukar, tapi terus terang saya sangat menikmatinya.
“Saya sangat teruja dapat ke separuh akhir. Ini sesuatu yang luar biasa, terutama untuk kali pertama saya beraksi di sini,” kata Amanda, yang mara ke final Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun ini.
Sebelum ini, kedua-dua pemain pernah bertemu dua kali iaitu Iga menang dalam final Wimbledon, manakala Amanda membalas dendam dengan menewaskan lawannya itu di suku akhir Terbuka AS.
Pemain berusia 24 tahun dari Poland itu dilihat gagal menyembunyikan rasa kecewanya terhadap kekalahan kali ini.
“Saya pun tak pasti kenapa saya tak dapat mara ke separuh akhir,” kata Iga yang jelas kecewa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




