Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada di tujuh negeri, termasuk di Pantai Timur, yang diramal berlaku hingga Rabu ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan dikeluarkan pada 9 pagi ini memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramal melanda lima daerah di Pahang, iaitu Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran, dan Rompin, selain Kemaman dan Dungun di Terengganu.
Seluruh Kelantan dan Perlis pula diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada dalam tempoh masa sama, selain cuaca itu juga dijangka berlaku di Hulu Perak, Perak, dan Kedah membabitkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, dan Baling.
Turut dijangka mengalami cuaca itu ialah Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, dan Bera; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, dan Marang); serta Johor (Segamat, Mersing, dan Kota Tinggi).
© New Straits Times Press (M) Bhd