Amaran kebakaran hutan dinaikkan di 6 daerah wilayah Riau

Akarta: Beberapa daerah di wilayah Riau, Indonesia menaikkan status amaran kebakaran hutan dan belukar ketika sejumlah tompok panas dikesan sejak awal tahun ini.
Timbalan Gabenor Riau, Edy Natar Nasution, menerusi satu kenyataan menyatakan status amaran sudah dinaikkan bagi daerah Bengkalis, Siak, Pelalawan, Rokan Hilir, Pulau Merati serta bandar Dumai. Kawasan terbabit berada di kawasan pantai timur wilayah yang bersempadankan Selat Melaka.

“Pemerintah Riau sudah menaikkan status amaran untuk meningkatkan langkah-langkah pencegahan (kebakaran belukar dan hutan),” kata Nasution, sambil menambah amaran lebih tinggi akan membolehkan agensi dan institusi kerajaan bekerjasama mencegah dan mengawal kebakaran.

“Saya harap akan ada usaha bersama untuk mencegah (kebakaran hutan). Saya harap penduduk juga memainkan peranan dengan tidak membersihkan tanah menerusi amalan menebang dan membakar. Ini kerana sebaik sahaja belukar terbakar, ia menjadi sukar dan menelan belanja yang besar untuk dipadamkan,” tambah beliau. Status amaran itu berkuat kuasa sehingga 21 Oktober.

Pengumuman itu dibuat selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) memberitahu pihak berkuasa tempatan Isnin lalu supaya bersiap sedia menghadapi kebakaran hutan lewat tahun ini memandangkan tompok panas sudah dikesan di pulau Sumatera.

Jokowi juga memberi amaran bahawa wilayah Kalimantan di pulau Borneo serta pulau Sulawesi juga akan mula berdepan kebakaran hutan pada bulan Mei hingga Julai, dengan kemuncaknya dijangka antara bulan Ogos dengan September.

Agensi Kaji Cuaca, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Isnin lalu menyatakan, meskipun beberapa daerah di negara itu masih mengalami musim hujan, sebahagian kawasan di pulau Sumatera, termasuk Riau mengalami musim panas bulan ini.

BMKG juga memberi amaran bahawa wilayah itu mungkin mengalami kebakaran belukar dan hutan sehingga bulan Mac apabila kekerapan hujan dijangka bertambah.
layah Riau, menurut agensi itu, sekali lagi beralih daripada musim hujan kepada musim panas sekitar bulan Mei nanti.

Agensi Pengurusan Bencana Riau (BPBD) menyatakan, sejak awal tahun ini, kebakaran berlaku di kawasan hutan dan tanah wilayah itu seluas 248 hektar. – AGENSI

Malay News
International Desk