Amin Abdullah wira selamatkan jemaah dalam serangan masjid San Diego

Amin Abdullah wira selamatkan jemaah dalam serangan masjid San Diego
Amin Abdullah wira selamatkan jemaah dalam serangan masjid San Diego

Amin antara tiga mangsa yang terbunuh dalam serangan bersenjata yang kini disiasat sebagai jenayah kebencian anti-Islam. Foto: Agensi

SAN DIEGO – Pengawal keselamatan di Pusat Islam San Diego, Amerika Syarikat, Amin Abdullah, dipuji sebagai wira selepas tindakan beraninya dipercayai berjaya mengurangkan jumlah korban dalam insiden tembakan di masjid tersebut pada Isnin.

Amin antara tiga mangsa yang terbunuh dalam serangan bersenjata yang kini disiasat sebagai jenayah kebencian anti-Islam.

Ketua Polis San Diego, Scott Wahl berkata, Amin dipercayai bertindak pantas menghalang penyerang daripada memasuki kawasan utama masjid dan sekolah berhampiran.

“Kami percaya pengawal keselamatan itu membantu meminimumkan serangan di bahagian hadapan masjid.

“Adalah adil untuk mengatakan tindakannya sangat berani dan tanpa ragu beliau telah menyelamatkan nyawa ramai jemaah,” katanya.

Komuniti Islam tempatan turut menyifatkan Amin sebagai individu yang banyak berjasa kepada keselamatan masjid sejak bertahun-tahun lalu.

Pengasas organisasi Institut Yaqeen, Omar Suleiman berkata, Amin memainkan peranan penting menghalang penyerang daripada mendekati kanak-kanak yang berada di dalam kawasan masjid ketika kejadian.

“Saudara Amin Abdullah menjadi pengawal keselamatan masjid selama bertahun-tahun.

“Beliau membantu menghentikan penyerang daripada sampai kepada kanak-kanak,” katanya menerusi hantaran media sosial.

Sebuah tabung bantuan untuk keluarga Amin turut dilancarkan organisasi Asian Law Caucus yang memperjuangkan hak komuniti Asia-Amerika dan Muslim di Amerika Syarikat (AS).

Setakat laporan ini ditulis, dana lebih AS$657,000 (kira-kira RM2.6 juta) berjaya dikumpulkan.

Dalam perkembangan sama, polis mengesahkan serangan tersebut sedang disiasat sebagai jenayah kebencian selepas penemuan unsur ‘ucapan kebencian’ dalam nota yang dikaitkan dengan salah seorang suspek.

Dua suspek dikenali sebagai Cain Clark, 17, dan Caleb Vazquez, 18, ditemui mati di dalam sebuah kereta beberapa blok dari masjid dipercayai akibat tembakan sendiri.

Polis sebelum itu menerima panggilan daripada ibu salah seorang suspek yang memaklumkan beberapa senjata dan kenderaannya hilang selain bimbang anaknya mempunyai kecenderungan membunuh diri. – Agensi

Scroll to Top