Projek BESS Santong TNB memperkukuh keupayaan bekalan elektrik negara

Projek BESS Santong TNB memperkukuh keupayaan bekalan elektrik negara

DUNGUN – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan operasi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong, iaitu sistem BESS pertama di Malaysia yang disambungkan kepada grid nasional memperkukuh keupayaan bekalan elektrik negara.

BESS Santong tersebut berkapasiti 100 megawatt (MW) / 400 megawatt-jam (MWh), di Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Santong BESS, Dungun, Terengganu

Kemudahan tersebut merupakan antara inisiatif strategik TNB khususnya dari segi penyimpanan dan pelepasan tenaga secara terkawal bagi meningkatkan kestabilan serta kebolehpercayaan bekalan elektrik, selaras denganvaspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Majlis perasmian projek strategik berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, BESS Santong memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan sistem grid melalui keupayaan tindak balas pantas terhadap ketidakseimbangan bekalan dan permintaan.

Ia termasuk menyokong pengurusan beban waktu puncak serta integrasi tenaga solar pada skala lebih besar melalui keupayaan grid-forming.

TNB melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha peralihan tenaga negara melalui pengoperasian BESS Santong di Dungun, Terengganu.

TNB melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha peralihan tenaga negara melalui pengoperasian BESS Santong di Dungun, Terengganu.

“Sistem ini turut menggunakan teknologi penyejukan cecair (liquid-cooled) serta keupayaan grid-forming yang membolehkan integrasi tenaga boleh baharu pada skala lebih besar, di samping memberikan tindak balas pantas terhadap perubahan keadaan sistem.

“BESS Santong boleh berfungsi sebagai ‘bank tenaga’ yang menyimpan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu seperti ladang solar berskala besar dan sistem solar terapung hibrid hidro, sebelum disalurkan semula ke grid apabila diperlukan,” katanya.

Jelas beliau, melalui keupayaan tersebut, BESS Santong dapat mengimbangi turun naik bekalan dan permintaan elektrik secara masa nyata, khususnya ketika waktu puncak atau gangguan sistem, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap grid dan meningkatkan kestabilan bekalan elektrik.

“Sistem ini juga berkeupayaan menyokong keperluan elektrik bersamaan kira-kira 40,000 isi rumah disekitar Pantai Timur, bergantung kepada corak penggunaan semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, projek tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh 309 hari dari tarikh mula hingga mula tugas, mencerminkan keupayaan TNB melaksanakan projek infrastruktur tenaga secara cekap dan pantas.

Katanya, pendekatan analitik dan digital dalam meramal permintaan tenaga, mengoptimumkan pengagihan bekalan serta melaksanakan pemantauan aset secara masa memperkukuh kecekapan operasi grid, menjadikannya lebih pintar dan fleksibel.

“Selaras dengan NETR, pembangunan BESS Santong mencerminkan komitmen berterusan TNB dalam memperkukuh infrastruktur grid bagi menyokong integrasi tenaga boleh baharu secara lebih meluas, di samping meningkatkan kecekapan dan daya tahan sistem tenaga negara,” katanya.

Scroll to Top