GEORGE TOWN : Tiada istilah rehat bagi atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed selepas muncul sebagai rakyat Malaysia pertama menghadiahkan pingat emas dalam acara berkenaan bagi kategori bawah 81 kilogram (kg) di Sukan Komanwel yang berlangsung di Glasgow, Scotland baru-baru ini.
Sebaliknya, atlet kelahiran Pulau Pinang itu bersedia untuk kembali berlatih secepat mungkin bagi mempersiapkan diri menghadapi temasya lebih besar iaitu Sukan Asia di Jepun yang dijangka bermula 19 September ini dengan sasaran utama melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles di Amerika Syarikat (AS) pada 2028.
“Alhamdulillah, saya sangat terharu dengan sambutan yang diterima (selepas pulang ke Malaysia) sama ada di KL (Kuala Lumpur) atau Pulau Pinang. Sangat-sangat gembira dan bersyukur dengan kejayaan ini.
“Setakat ini, tak ada kecederaan yang besar. Jadi, esok (hari ini) bolehlah kembali berlatih semula,” katanya ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, tengah malam tadi.
Selain ahli keluarga, rakan-rakan serta pegawai dari Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), turut menyambut ketibaan Amir Daniel bersama jurulatihnya, Md. Nashriq Md. Nassir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen.

Bagi Md. Nashriq pula, kejayaan Amir Daniel yang juga merupakan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) menggenggam emas pada temasya di Glasgow bukan satu kebetulan kerana bintang muda itu telah menunjukkan kesungguhan serta keazaman yang tinggi untuk menang sebaik sahaja kejohanan tersebut bermula.
“Kita dah memang jangkakan yang Amir (Daniel) boleh menang. Cuma, saya pesan dekat dia sebelum masuk final, jangan terlalu pandang rendah keupayaan lawan walaupun kita tahu kita boleh (menang).
“Itu pesanan saya dan dia akhirnya menang dengan skor waza-ari,” katanya yang akan membawa atlet judo muda Pulau Pinang mempertahankan emas dalam acara yang sama pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor bermula 15 Ogos ini.
Tambah Md. Nashriq, secara peribadinya, dia sangat berbangga dengan disiplin tinggi serta semangat juang yang ditunjukkan oleh Amir Daniel dan percaya kejayaan tersebut akan menjadi inspirasi serta penanda aras untuk atlet judo lain lebih berjaya pada masa depan.
Sementara itu, Daniel memberitahu, pencapaian Amir Daniel yang meraih emas dalam acara judo pada Sukan Komanwel itu dianggap sebagai luar biasa dan atlet berkenaan juga layak menerima ganjaran di bawah Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Skimas).
“Dia (Amir Daniel) memang layak dapat. Tapi, jumlah ganjaran itu nanti akan diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) selepas ini ya,” ujar beliau.
Pada aksi final di Scottish Event Campus (SEC), Amir Daniel membuktikan kemampuannya apabila menewaskan atlet Afrika Selatan, Timothy Meuwsen menerusi waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit, sekali gus menghadiahkan emas kelapan buat kontinjen negara.
Kemenangan itu lebih manis apabila Amir Daniel yang menghuni ranking ke-117 dunia berjaya menundukkan Meuwsen yang berada di tangga ke-41 dunia, dengan aksi bersejarah itu turut disaksikan ibu, Yeoh Suat Khim serta kakaknya, Nur Yasmeen.
Untuk rekod, Amir Daniel juga pernah memenangi gangsa pada Sukan Komanwel di Birmingham, England pada 2022 selain meraih pingat emas Sukan SEA di Bangkok, Thailand 2025 sekali gus menamatkan kemarau kejayaan Malaysia selama 44 tahun dalam acara terbabit.-UTUSAN




