Manchester: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui kelab itu sudah melakukan banyak kesilapan susulan kritikan pedas yang dilemparkan Cristiano Ronaldo baru-baru ini.
Ronaldo kembali ke Old Trafford pada 2021 namun tempoh keduanya bersama United berakhir dengan penuh ketegangan selepas kontraknya ditamatkan hanya 15 bulan kemudian.
Bintang antarabangsa Portugal itu tampil dalam satu temu bual eksklusif bersama Piers Morgan minggu ini, yang turut menyentuh mengenai keadaan semasa United dan usaha Amorim memulihkan prestasi pasukan itu.
Temu bual minggu ini berlangsung tiga tahun selepas perbualan sensasi pertamanya bersama Morgan, di mana Ronaldo mengkritik barisan pengurusan United, Erik ten Hag serta struktur bola sepak kelab berkenaan.
“Dia (Amorim) melakukan yang terbaik. Apa lagi yang boleh dibuat? Keajaiban? Keajaiban itu mustahil.
“Tiada siapa boleh lakukan keajaiban. Malah Manchester United mempunyai pemain yang bagus, tetapi sebahagian daripada mereka tidak mempunyai mentaliti yang memahami apa maknanya menjadi pemain Manchester United,” kata Ronaldo.
Amorim sendiri berdepan musim sukar tahun lalu apabila United menamatkan saingan liga di tangga ke-15 dan tewas kepada Tottenham dalam final Liga Europa.
Menjelang aksi menentang Spurs hujung minggu ini, Amorim ditanya mengenai kenyataan Ronaldo itu dalam sidang media pra-perlawanan.
“Sudah tentu dia tahu dan setiap kata-katanya membawa impak besar,” kata Amorim.
“Apa yang perlu kami lakukan ialah fokus pada masa depan. Kami tahu kelab ini melakukan banyak kesilapan sebelum ini dan kami sedang berusaha memperbaikinya. Jangan terlalu fokus pada apa yang sudah berlaku.
“Kami sedang mengubah banyak perkara dari segi struktur, cara kami bekerja dan tingkah laku yang kami mahukan daripada pemain. Kami sedang meningkat, jadi biarlah yang lalu itu berlalu.”
“Tapi sekarang kami berada dalam keadaan yang lebih baik sekarang, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan kemenangan secara konsisten dalam beberapa perlawanan berturut-turut,” kata Amorim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




