am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biarpun memiliki latar belakang pendidikan jauh berbeza dengan kerjaya diceburi, pelakon baharu, Amylia Aidura, 24, mengakui jiwanya lebih terarah kepada dunia seni yang diminatinya sejak kecil.
Amylia atau pemilik nama Amylia Aidura Ishammudin berkata, transisinya ke dunia lakonan bermula dengan langkah kecil sebagai model komersial bebas ketika masih bergelar pelajar universiti.
“Sebenarnya saya memang minat berlakon dari kecil, memang suka berangan. Masa sekolah menengah pun, saya aktif masuk pertandingan lakonan mewakili sekolah. Minat terhadap teater dan lakonan itu memang sudah ada lama,” katanya.
Bagaimanapun, akur dengan kehendak keluarga, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran ini memilih untuk mengutamakan pelajaran terlebih dahulu sebelum terjun sepenuhnya ke dalam industri seni tanah air.
Menurut Amylia, dia tidak memulakan kerjaya seninya lebih awal kerana faktor komitmen pengajian yang menuntutnya untuk memberi tumpuan penuh.
“Sebab utama saya tak mula awal adalah kerana kekangan masa. Saya perlu pergi ke kelas setiap hari, memang sukar untuk fokus. Selepas tamat belajar, barulah saya ada masa untuk betul-betul serius,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Amylia tidak menolak kemungkinan untuk menyertai sektor korporat, suatu hari nanti.
“Perancangan asal saya memang nak jadikan dunia korporat sebagai kerjaya utama dan lakonan sebagai hobi sampingan.
“Tapi buat masa ini, sementara tengah berehat sebelum mula temu duga dalam industri korporat, saya mahu cuba untuk masuk dalam industri seni terlebih dahulu,” katanya.
Meskipun pada awalnya timbul kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga, Amylia bersyukur kerana ibu bapanya kini memberikan sokongan penuh, malah sering menghantar dan menjemputnya di lokasi penggambaran.
Namun, dia tetap memegang pesanan dan batasan yang ditetapkan oleh orang tuanya demi menjaga nama baik keluarga.
“Ibu bapa saya selalu pesan supaya jaga cara percakapan dan jangan ambil watak yang terlampau negatif.
“Mereka mahu saya sentiasa tonjolkan imej positif walaupun dalam lakonan. Jadi, saya agak selektif dalam memilih watak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




