redzuan.muharam@hmetro.com.my
Ampang: Beratnya ujian lelaki ini kerana kini bertarung dengan barah darah hingga tidak dapat mencari rezeki demi membesarkan anak tunggalnya, Muhammad Aiden Noah yang kini berusia tiga tahun.
Sebagai insan biasa, Muhamad Khamil Bashah Abdul Samat, 32, sedih yang teramat selepas diberitahu doktor mengenai penyakitnya itu pada 22 Ogos lalu walaupun sudah nampak simptom awal.
Mana tidaknya, Muhamad Khamil Bashah memikirkan anaknya yang kini dijaga bekas isteri, namun mendapat semangat untuk menghadapi ujian dengan sokongan keluarga dan individu terdekat.
“Sebenarnya, saya sudah boleh agak akan menghidap barah sebab nampak simptom awal seperti kerap demam, gusi berdarah dan luka lambat sembuh.
“Cuma saya dapat tahu pengesahan selepas ujian dan pemeriksaan susulan… hari pertama dapat tahu memang sedih dan fikir macam mana dengan anak jika saya tak sembuh.
“Tapi perasaan itu ada pada hari pertama saja kerana bila renungkan semula, semua kita akan mati (meninggal dunia) dan kalau tak ada barah ini pun tetap akan pergi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Muhamad Khamil Bashah berkata, dia pernah berkhidmat 10 tahun sebagai anggota polis sebelum berhenti tahun lalu untuk menjadi pengawal peribadi.
Bagaimanapun, Muhamad Khamil Bashah masih menerima rawatan di Hospital Ampang, di sini, jadi tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan dan belum dalam keadaan stabil.
“Sebelum ini, doktor ada ambil air tulang belakang dan saya pun sudah selesai rawatan kemoterapi kitaran pertama.
“Peluang nak sembuh mungkin ada walaupun barah yang saya hidap ini jarang berlaku kerana campuran dua jenis, tapi kena rawatan berterusan.
“Kata doktor, tiada pembedahan perlu dijalankan dalam waktu terdekat kecuali prosedur memasukkan pot kemoterapi pada 25 September depan,” katanya.
Muhamad Khamil Bashah berkata, dia mahu terus berjuang melawan penyakitnya kerana masih menaruh harapan untuk sembuh supaya dapat kembali bekerja seperti biasa.
Tambahan pula, Muhamad Khamil Bashah tiada dan belum ada bantuan kewangan yang membolehkannya hidup tanpa bekerja dalam tempoh lama.
“Saya bukan kerja tetap jadi kewangan pun tak seberapa. Jadi saya kena cepat sembuh dan tak sedia nak ‘pergi’ lagi kerana belum puas jaga serta membesarkan anak.
“Anak kecil lagi, jadi dia pun tak faham keadaan saya yang sakit ini kerana kami pun sudah lama tak berjumpa.
“Saya dan anak hanya berhubung menerusi panggilan video, cuma bukan setiap hari kerana nanti saya jadi sedih hingga lemah,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 163019746392 atas nama Muhamad Khamil Bashah Abdul Samat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




