Anak penyokong, pembangkang setia Didie

Anak penyokong, pembangkang setia Didie

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Siri 2

Bakat versatil dimiliki Didie Alias menyaksikan dia boleh melakonkan pelbagai karakter seperti serius, komedi dan antagonis.

Malah, Didie mahu mengubah stigma tanggapan peminat bahawa dirinya hanya sesuai dengan memegang watak komedi.

“Masa itu saya selalu buat komedi, orang fikir takkan nak bagi watak antagonis pada saya? Memang ada pandangan macam itu, tapi (pengarah) Along Kamaludin dan Shahrulezad tahu kebolehan saya.

“Mereka bagi satu watak antagonis dan jadi pula. Benda itu macam wujudkan kepercayaan orang terhadap saya. Kadang kala pengarah itu sendiri yang tahu seorang pelakon itu boleh bawa atau tidak,” katanya.

Biarpun mempelbagaikan karakternya, Didie kekal diingati dengan watak komedi dan berjaya merangkul trofi Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak tiga kali iaitu pada 2011, 2012 dan 2014.

Sesuatu yang menarik, Didie sering mengenakan pakaian unik setiap kali hadir ke acara berprestij itu sekali gus mengundang pandangan pro dan kontra daripada peminat.

“Awal-awal dulu memang agak teruk jugalah saya dipersendakan peminat dan kena kecam. Tapi selepas itu, mereka ternanti-nanti kemunculan saya pula.

“Mereka nak tengok fesyen apa saya pakai di ‘red carpet’ dan akan jadi apa pula. Benda itu jadi macam, orang kata, cuci mata untuk peminatlah. Mereka terhibur dengan gaya saya.

“Paling saya bersyukur apabila anak-anak saya ‘support’ karier saya pasal mereka tahu kita bekerja dalam industri ini. Mereka tahu itu periuk nasi kita.

“Kita cari makan, buat kerja itu adalah periuk nasi kita. Mereka pun membesar dengan hasil titik peluh kita, jadi mereka pun tak ada masalah.

“Mereka adalah penyokong setia dan pembangkang setia kalau peminat mengata emaknya. Mereka pasti akan pertahankan,” katanya.

Didie mempunyai lima anak menerusi perkahwinan dengan Ridzuan Hashim iaitu NurDhaniyah, Muhammad Dhanial, NurDinie, NurDayini Ahza dan Nur Diyana.

Manakala perkahwinan dengan Nor Isham Ismail pula dikurniakan anak lelaki, Muhammad Dayyan.

Dia turut mempunyai enam cucu sekali gus menceriakan kehidupannya.

“Tiga anak saya sudah kahwin. Insya-Allah hujung tahun ini yang nombor empat akan menyusul. Tinggal dua lagi iaitu nombor lima dan enam yang masih kecil,” katanya.

Bagi membesarkan anak-anaknya, Didie turut membuka perniagaan sendiri iaitu syarikat pengurusan acara. Tindakan itu dibuat apabila melihatkan keadaan industri yang agak perlahan.

“Selain itu dengan kemunculan ramai artis-artis baru, skop kerja tak banyak. Jadi saya lari sekejap, pergi ke bisnes. Selepas bercerai memang agak sukar untuk saya besarkan anak-anak.

“Macam apa-apa saja kerja yang ada, saya ‘sapu’ saja. Maknanya malam berniaga sate dan otak-otak, lepas itu siang buat kerja lainlah. Saya terus bekerja tanpa rehat,” katanya.

ESOK: Diuji suami sakit akibat ilmu hitam

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top