MSU, UTM perkukuh kerjasama strategik

MSU, UTM perkukuh kerjasama strategik

suliati@hmetro.com.my

Management and Science University (MSU) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperluaskan kerjasama strategik dalam usaha memperkukuh pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi.

Usaha itu diterjemahkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang turut merangkumi pemindahan teknologi dan pembangunan bakat.

MoU itu dimeterai Presiden dan Pengasas MSU Prof Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid bersama Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Ia sekali gus membuka lembaran baharu hubungan strategik antara kedua-dua institusi yang berkongsi aspirasi memperkasa kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Menerusi kerjasama strategik itu, kedua-dua universiti bakal memberi fokus pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), hospital maya dan keselamatan siber, selain meneroka pelaksanaan program dwi ijazah.

Kerjasama itu merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara kolaboratif, penerbitan bersama dalam jurnal berimpak tinggi serta program pertukaran penuntut, pensyarah dan penyelidik.

Inisiatif itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan penyelidikan, bakat dan inovasi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat, industri serta negara.

Jaringan kolaborasi itu juga mencerminkan komitmen berterusan MSU dan UTM dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Ia khususnya membabitkan bidang penyelidikan dan inovasi rentas disiplin yang membuka peluang kepada penuntut serta penyelidik untuk terbabit dalam projek berimpak tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top