BANGKOK: Anak lelaki Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, Dr Chakriwat ‘Than Aong’ Vivacharawongse dijadual menjalani pembedahan otak kali kedua di Malaysia hari ini selepas bertahun-tahun menghidap penyakit genetik yang menyebabkan ketumbuhan pada saraf.
Pakar perubatan berusia 43 tahun itu mengakui berasa gembira dan takut menjelang pembedahan berkenaan, yang disifatkannya sebagai satu-satunya cara untuk memperbaiki keadaan kesihatannya ketika ini.
Beliau berkongsi perasaannya menerusi hantaran bertulis dan video di Facebook sebelum menjalani pembedahan. Beliau turut meminta teman wanitanya berkongsi perkembangan keadaannya sepanjang tempoh pemulihan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Chakriwat menghidap neurofibromatosis jenis 2 (NF2), iaitu penyakit genetik yang menyebabkan ketumbuhan tumbuh pada saraf. Beliau menyifatkan penyakit itu sebagai sukar dirawat, menyeksakan dan berpanjangan.
“Saya gembira menjalani pembedahan otak terbuka buat kali kedua kerana itulah satu-satunya cara untuk memperbaiki keadaan saya ketika ini, namun saya juga berasa takut,” katanya.
Beliau berkata, sudah menjalani lebih 10 pembedahan pada pelbagai bahagian tubuh selain berulang kali menerima rawatan radiasi, termasuk Gamma Knife dan CyberKnife, serta kemoterapi bagi mengawal ketumbuhan.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk terus berharap, mengekalkan semangat dan mendapatkan sokongan ketika berdepan ujian kesihatan.
“Namun, begitulah kehidupan. Kita semua perlu terus berharap, mengekalkan semangat yang kuat dan mendapatkan sokongan padu.
“Saya mungkin tidak bernasib baik untuk memiliki tubuh yang paling sihat, tetapi satu-satunya cara untuk pulih adalah dengan mengharunginya,” katanya.
Chakriwat berkata, beliau menyerahkan keselamatan dirinya kepada pasukan perubatan yang diketuai Dr Regunath dan yakin sepenuhnya terhadap kepakaran pakar bedah serta kakitangan perubatan di Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat yang pernah merawatnya di Amerika Syarikat (AS) dan Thailand.
Menerusi video itu, beliau mengakui berasa tertekan dan takut untuk menjalani pembedahan di luar negara kerana hampir tidak mengenali sesiapa di Malaysia. Namun, perbincangan berulang kali dengan pakar bedah yang merawatnya meningkatkan keyakinan beliau terhadap pasukan perubatan berkenaan.
Beliau turut berterima kasih kepada mereka yang mengirimkan mesej sokongan, sambil menyatakan bahawa kata-kata semangat itu menguatkan dirinya menjelang pembedahan.
Chakriwat mula mendedahkan keadaan kesihatannya yang memerlukan rawatan segera pada September lalu. Ketika itu, beliau berkata beberapa pakar neurologi memberi amaran bahawa beliau berisiko terlantar di katil atau meninggal dunia sekiranya rawatan ditangguhkan.
Beliau sebelum ini berharap dapat menerima rawatan di Thailand kerana tidak mampu menanggung kos pembedahan di Malaysia atau AS.- AGENSI




