Pembantu tadbir didakwa kemuka 15 dokumen palsu

Pembantu tadbir didakwa kemuka 15 dokumen palsu

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang pembantu tadbir Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 15 pertuduhan menggunakan dokumen sebut harga palsu bernilai lebih RM14,000 antara tahun 2020 hingga 2023.

Tertuduh, Mohamad Afif Md Noor, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur mengemukakan sebagai tulen dokumen sebut harga bagi permohonan pembekalan makanan dan minuman serta peralatan mesyuarat, selain kerja penyelenggaraan bangunan.

Dokumen berkenaan meliputi permohonan penyediaan makan tengah hari, minum petang dan pembekalan kelengkapan mesyuarat serta kerja penyelenggaraan di Pejabat RISDA Kemaman.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara Disember 2020 hingga Januari 2023.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan beberapa syarat tambahan.

Antaranya, tertuduh dilarang berkomunikasi dengan semua saksi pendakwaan serta tidak dibenarkan memiliki pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Amalina Najwa Mohd Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Marlisa Marzuki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top