Trisha Ooi sedia berentap semula di gelanggang tinju

Trisha Ooi sedia berentap semula di gelanggang tinju

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Trisha Ooi masih mempunyai keinginan untuk bertarung selepas meraih kemenangan dalam kejohanan tinju, All Star Championship: Dubai Edition di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mei lalu.

Trisha atau nama sebenar Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 27, berkata dia baru sahaja ditawarkan untuk bertanding di bawah All Stars Championship yang berlangsung, baru-baru ini.

“Baru saja beberapa hari lepas, tapi disebabkan saya tengah ‘shooting’ dan tak sempat untuk buat persediaan, jadi saya tak dapat sertai.

“Kali ini pertandingan berlangsung di Malaysia. Masa saya bertanding dulu di Dubai, bila buat di Malaysia, mereka nak jemput saya tapi keadaan tak sesuai pula.

“Apa pun kalau ada peluang dan masa, saya akan sertai lagi. Tapi kalau masa itu sangat padat kenalah tangguh dulu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Trisha berkata, banyak perkara yang dipelajarinya ketika masuk gelanggang terutama menjaga nama sukan terbabit.

“Kali pertama masuk gelanggang, banyak benda baru untuk saya belajar. Saya tahu untuk berlawan dalam sukan combat begitu, walaupun ia hanyalah kejuaraan pempengaruh dan artis, tapi kalau boleh kita tak nak malu.

“Jadi persiapan itu sangat penting, macam hari itu pun saya ambil masa dalam empat bulan untuk persiapan dan dapatkan berat yang tepat. Bila bertanding, kita tak nak nampak macam kita tak tahu, tiada asas, saya berlatih hampir setiap hari.

“Dalam perlawanan itu berbeza. Kegugupan kita tak sama, teknik kita ‘ke laut’ dan bagi saya ia adalah proses pembelajaran. Kalau nak sertai lepas ini, saya akan pastikan ada masa yang cukup untuk bersedia,” katanya.

Katanya, tempoh empat bulan berlatih tidak mencukupi dan dia tidak mahu menampakkan diri seakan ‘bodoh’ dalam gelanggang.

Trisha kini tampil membintangi Pickle Rival, drama bersiri mikro arahan Faliq Sharif yang dibawakan khas oleh AIA Public Takaful Bhd.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top