
BEIRUT: Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNIFIL akan kekal di semua kedudukan di Lubnan walaupun Israel menggesa mereka untuk berundur di tengah-tengah pertempuran yang semakin sengit dengan pencerobohan Israel ke atas negara itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin, waktu tempatan, sekali lagi menggesa pasukan UNIFIL di selatan Lubnan untuk berpindah dari kawasan tertentu yang dekat dengan sempadan Israel dengan Lubnan, dengan menegaskan bahawa ia sebelum ini tidak menyasarkan mereka.
Terdahulu, negara pengganas rejim Zionis itu telah menghadapi kritikan teruk berhubung kecederaan yang dialami oleh lima anggota pasukan pengaman PBB, yang telah ditempatkan di Lubnan sejak yang pertama daripada empat serangan darat utama Israel terhadap negara itu bermula pada tahun 1978.
Ketua pengaman PBB Jean-Pierre Lacroix berkata, keputusan dibuat bahawa UNIFIL pada masa ini akan kekal di semua kedudukannya di Lubnan walaupun Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengarahkan untuk mengosongkannya, lapor Reuters.
“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini masih kekal,” tambah, sambil menyatakan bahawa perancangan itu telah disahkan awal Isnin oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Lima anggota UNIFIL tercedera dalam beberapa siri serangan pengganas rejim pada minggu lalu, dengan yang terbaharu menyaksikan pasukan pengaman PBB mendedahkan tentera Israel memecah pintu dan memasuki salah satu kedudukan penempatan mereka.
Tentera Israel kemudian berkata, sebuah kereta kebal ‘berundur beberapa meter ke dalam pos UNIFIL’ ketika ia sedang ‘terbakar’ dan cuba memindahkan tentera yang cedera.
Majlis Keselamatan PBB buat pertama kalinya sebulat suara menyuarakan ‘kebimbangan serius’ pada Isnin selepas rentetan serangan berkenaan.
“Berlatarkan permusuhan yang berterusan di sepanjang Laluan Biru, anggota Majlis Keselamatan PBB menyatakan kebimbangan mereka selepas beberapa pos UNIFIL diserang Israel sejak beberapa hari lalu,” kata Duta Switzerland untuk PBB, Pascale Baeriswyl.
“Beberapa pasukan pengaman telah cedera.”
Dalam kenyataan itu, yang tidak mengkhususkan Israel, 15 ahli majlis itu ‘mengesa semua pihak supaya menghormati keselamatan dan keselamatan kakitangan dan premis UNIFIL’.
Di bawah Resolusi Majlis Keselamatan 1701, kira-kira 9,500 tentera UNIFIL dan tentera Lubnan ditempatkan di selatan Lubnan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 15/10/2024








