Anggota PGA terkorban ketika bertugas akan disemadikan di kampung halaman

Alor Setar : Jenazah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3, Bidor Perak yang maut ditembak ketika menjalankan tugas rondaan di sempadan Perlis akan disemadikan di kampung halamannya di Bahau, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mendiang Koperal Baharudin Ramli, 54, akan dibawa untuk disemadikan di kampungnya selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Menurutnya, proses bedah siasat bermula 2.10 petang hari ini dan sehingga 3.45 petang masih belum selesai.

“Proses penghantaran jenazah akan dilakukan dari sempadan ke sempadan dan kami akan mengiringinya sehingga sempadan Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk ke destinasi seterusnya.

“Kami warga Kontinjen Kedah mengucapkan takziah kepada keluarganya di atas pemergian mendiang ketika menjalankan tugas di kawasan sempadan dalam Ops Benteng menjaga keamanan negara,” katanya ketika ditemui di sini.

Hasanuddin turut menasihatkan agar anggota keselamatan yang bertugas di sempadan supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas.

“Tadi saya ke lokasi kejadian dan mendapati kawasan itu memang ada tembok dan pagar keselamatan tapi takdirnya berlaku tragedi dan kita turut simpati dengan kejadian ini,” katanya.

Hasanuddin berkata, kawalan sempadan Malaysia-Thailand termasuk laluan darat dan laut di negeri ini juga akan dipertingkatkan untuk mengelak dari insiden seperti ini berulang.

Ia adalah kejadian kedua membabitkan tembakan di sempadan yang mana kejadian sebelum ini berlaku di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli dari Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), yang maut akibat terkena tembakan ketika penugasan kawalan keselamatan Ops Benteng di sempadan Malaysia – Thailand, awal pagi tadi.

Facebook PDRM dalam satu kenyataan berkata, kejadian berbalas tembakan itu berlaku antara anggota PGA dengan dua kumpulan penyeludup ketika beliau menjalankan tugas risikan di Tembok Sempadan (TS9) yang mana turut mencederakan rakan setugas yang lain.

 

ZA137 Malay News

National Desk

 

Scroll to Top