am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di Pos Pengawal Marin di sini, semalam.
Mangsa berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan perut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari sama.
Katanya, mangsa terkena tembakan ketika seorang rakan setugas sedang mengosongkan senjata api di lokasi kejadian.
“Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
“Keadaannya dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan serta pemantauan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 berkaitan kesalahan melepaskan tembakan sehingga mencederakan mana-mana orang.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
