am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Dijanjikan menerima keuntungan tinggi sehingga AS$8 juta (kira-kira RM35 juta), seorang pesara di sini kerugian RM2.3 juta angkara pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun, yang mendakwa diperdaya selepas menyertai kumpulan WhatsApp menawarkan skim pelaburan pada November tahun lalu.
“Mangsa kemudian diberikan pautan satu laman sesawang yang boleh diakses untuk melihat keuntungan serta mengendalikan pelaburan berkenaan.
“Mangsa juga tertarik dengan janji keuntungan tinggi sehingga AS$8 juta.
“Transaksi dibuat mangsa pada 27 November tahun lalu sehingga 4 Mac lalu dengan empat pemindahan secara dalam talian ke empat akaun bank tempatan, berjumlah RM2.3 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Kumar, mangsa sedar ditipu selepas tidak berjaya mengeluarkan keuntungan yang diperoleh dan seterusnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




