DALAM era teknologi yang serba canggih kini, dengan hanya satu klik, seseorang dapat mengakses pelbagai bentuk hiburan dan kandungan yang boleh menggugat kesucian iman.
Disebabkan itulah kita disuruh untuk menjaga pandangan. Ia bukan sekadar etika, tetapi perintah ALLAH SWT untuk melindungi kesucian hati dan kehormatan diri.
Persoalannya, sejauh mana kita mampu mengawal pandangan kita, terutama ketika tiada siapa yang melihat?
Banyak ayat al-Quran dan hadis yang memerihalkan kepentingan untuk memelihara pandangan mata lebih-lebih lagi ketika bersendirian kerana di situlah ujian sebenar seseorang.
Ibnu Al-Jawzi mengatakan: “Janganlah kamu tertipu dengan dirimu yang menjaga ketaatan di hadapan manusia, tetapi bermaksiat ketika bersendirian. Sesungguhnya ujian sebenar keikhlasan adalah apa yang kamu lakukan ketika tiada siapa yang melihat kecuali ALLAH.”
Ketika di hadapan orang lain, kita mungkin mudah menjaga adab dan batasan. Namun, bagaimana ketika kita berada seorang diri di dalam bilik dengan telefon di tangan dan internet tanpa sekatan? Di sinilah keimanan sebenar seseorang diuji.

JAGALAH mata dan pandangan masing-masing kerana zina bukan sekadar perbuatan fizikal, tetapi ia bermula daripada mata yang melihat perkara haram. -Foto: CANVA
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jagalah auratmu, kecuali terhadap isterimu atau hamba yang kamu miliki.” Lalu seseorang bertanya: “Bagaimana jika seseorang sendirian?” Beliau menjawab: “Maka ALLAH lebih berhak untuk kamu berasa malu kepada-NYA.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Berdasarkan hadis itu, jelas bahawa walaupun tiada sesiapa yang melihat, tetapi ALLAH SWT MAHA MELIHAT dan sebagai hamba, kita seharusnya berasa malu kepada-NYA.
Apalagi ALLAH SWT menyatakan secara jelas dalam al-Quran menerusi firman-NYA: “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya ALLAH MAHA MENGETAHUI apa yang mereka lakukan.
“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka.” (Surah an-Nur: 30-31)
Melihat kepada nas itu, ia jelas menunjukkan bahawa menjaga pandangan bukan pilihan, sebaliknya ia merupakan perintah ALLAH SWT yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim waima lelaki mahupun wanita.
Bahaya zina mata
Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa zina bukan sekadar perbuatan fizikal, tetapi juga bermula daripada mata yang melihat perkara haram.

KETIKA bersendirian, kawallah pandangan kita walaupun tiada sesiapa yang melihat. -Foto: CANVA
Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan bagi setiap anak Adam bahagian mereka daripada zina, yang pasti akan dilakukannya. Zina mata adalah melihat (perkara yang haram), zina lidah adalah berbicara (dengan kata-kata yang mengarah kepada zina), hati berkeinginan dan bernafsu, sedangkan kemaluanlah yang membenarkan atau menolak semua itu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Menerusi hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW turut memperincikan maksud zina mata.
Sabda Baginda SAW: “Kedua-dua mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (kepada yang tidak berhak).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Kedua-dua hadis itu mengingatkan kita agar dapat menjaga mata daripada melihat kepada aurat orang lain sama ada lelaki mahupun wanita secara sengaja. Bahkan, perbuatan tersebut dikategorikan sebagai zina mata.
Justeru, perbuatan tersebut perlu dihindari oleh setiap Muslim, lebih-lebih lagi ketika bersendirian.
Bukan hanya al-Quran dan hadis yang memberi peringatan tentang impak akibat tidak menjaga pandangan, tetapi para alim ulama untuk mengingatkan tentang perkara berkenaan.
Ibnu Qayyim Al-Jawziyyah dalam Ighathatul Lahfan misalnya menyatakan: “Pandangan mata adalah panah beracun daripada panah-panah iblis. Barang siapa menahan pandangannya, maka ALLAH akan memberikan kepadanya cahaya dalam hatinya.”
Sementara itu, Imam Al-Ghazali mengatakan: “Sesiapa yang tidak mengawal pandangannya, maka syaitan akan membimbingnya ke arah kehancuran.”
Bahkan, seorang penyair turut mengingatkan kita bahawa: “Ingat jika kamu lepaskan pandanganmu secara sesuka hati, nanti yang menanggung susah dek pandangan itu ialah hati. Kamu melihat sedikit sahaja, yang lainnya kamu tidak mampu. Sedikit itu pun sudah membuat fikiranmu tidak menentu.”
Cara jaga pandangan
Kepada mereka yang bersendirian, berikut cara menjaga pandangan yang dianjurkan:
1. Ingat bahawa ALLAH SWT sentiasa melihat.

PENTING untuk kita memelihara pandangan mata lebih-lebih lagi ketika bersendirian kerana di situlah ujian sebenar seseorang. -Foto: CANVA
Jika manusia boleh memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pekerja, bukankah ALLAH SWT lebih hebat daripada itu?
2. Jauhi perkara mencetuskan godaan.
Hindari laman web tidak senonoh dan kurangkan penggunaan media sosial yang penuh dengan imej tidak menutup aurat.
3. Baca doa dan zikir ketika terasa ingin melihat perkara haram.
Nabi Muhammad SAW mengajarkan kita untuk membaca: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada kejahatan pendengaranku, penglihatanku, lisanku dan hatiku.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
4. Banyakkan beristighfar dan solat taubat.
Jika pernah tergelincir, jangan biarkan dosa itu berterusan. Segera bertaubat dengan penuh keikhlasan.
Ingatlah, menjaga pandangan bukan sekadar soal akhlak, tetapi merupakan benteng utama dalam menjaga kesucian hati dan maruah diri.
Mengertilah ujian sebenar seseorang bukanlah ketika dia di hadapan orang lain, tetapi ketika bersendirian dan hanya ALLAH SWT yang melihatnya.
Maka, tanyakan kepada diri kita sendiri “Apa yang aku lakukan ketika tiada siapa yang melihat?” Semoga kita diberikan kekuatan untuk menjaga pandangan dan menjauhkan diri daripada maksiat.
*Artikel ditulis oleh Ustaz Mohd Ridwan Razali, Guru cemerlang Turath Al-Quran dan As-Sunnah, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut, Terengganu