Kualq Lumpur: Penampilan Anna Jobling sebagai hantu dalam filem seram Indonesia, Lembayung mencuri perhatian warganet apabila rata-rata memuji aksi yang dipamerkannya.
Menerusi video yang tular di TikTok, Anna yang memegang watak Tantri disebut-sebut bakal menjadi pengganti watak hantu penuh ikonik yang pernah dilakonkan Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.
“Dah jumpa pelakon cerita hantu yang boleh kasi meremang bulu roma macam Maya Karin,” tulis netizen.
“Pengganti Maya Karin diberikan kepada Anna Jobling,” kata seorang pengguna akaun.
“Jadi Maya Karin lah nanti, buat kita takut sampai bila-bila,” tulis netizen.
Setakat ini, video yang memaparkan beberapa babak seram yang dilakonkan Anna meraih lebih 6.1 juta tontonan dan 6,000 komen.
Filem Lembayung ini juga bakal menjadi pertaruhan sulung Anna dalam menempatkan diri untuk industri perfileman Indonesia.
Melihat maklum balas positif awal daripada peminat dari kedua-dua negara ini, Anna meraih pelbagai pujian kerana begitu berani membawakan watak hantu yang diinspirasikan dari kisah benar.
“Lagi seram bila Lembayung ini berdasarkan kisah benar,” kata warganet.
“Anna secocok dengan filem hantu,” kongsi seorang pengguna akaun.
“Menjadi Anna bawa karakter seram,” tulis netizen.
Terdahulu pelakon Indonesia, Baim Wong memuji bakat lakonan Anna sehingga memilih aktres itu memegang watak utama dalam filem terbaharu arahannya itu.
Baim berkata, Anna memenuhi semua kriteria yang diperlukan selain mempunyai pakej lengkap bagi watak Tantri dalam filem Lembayung.
© New Straits Times Press (M) Bhd
