anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Naratif mendakwa gajah Malaysia bernama Dara, Amoi dan Kelat (DAK) didera dan mengalami tekanan emosi melampau di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, ternyata tidak berasas.
Ia susulan tular rakaman video memaparkan mamalia itu melakukan aktiviti mengawan secara semula jadi di zoo berkenaan.
Malah aktiviti itu turut tular di media sosial sejak kelmarin, sekali gus menepis dakwaan penyeksaan terhadap tiga gajah Malaysia itu oleh pihak tertentu.
Bukti biologi dan penjelasan rasmi oleh pihak berkuasa tempatan memberikan perspektif yang jauh berbeza daripada spekulasi di media sosial.
Sumber berkata, daripada sudut sains zoologi, aktiviti mengawan atau hubungan seks dalam kalangan haiwan liar adalah indikator utama tahap kesihatan optimum dan kesejahteraan yang tinggi.
“Haiwan mamalia besar seperti gajah tidak akan melakukan aktiviti mengawan sekiranya mereka berada dalam keadaan trauma, dianiaya atau mengalami tekanan emosi kronik. Ini antara tanda gajah ini bebas dari tekanan emosi seperti didakwa nitizen,” katanya.
Menurutnya, tingkah laku gajah jantan Kelat yang aktif bertindak balas dengan gajah betina sebenarnya berkait rapat dengan fasa biologi semula jadi yang dikenali sebagai musth atau turun minyak.
“Fasa ini membuktikan sistem hormon dan pembiakan gajah itu berfungsi dengan sangat baik dalam persekitaran baharu mereka,” katanya.
Situasi terkini gajah Malaysia itu bertepatan dengan maklumat disalurkan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mewakili Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) baru-baru ini.
Dara, Amoi, dan Kelat (DAK) yang ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, berada dalam keadaan sihat, aktif dan merekodkan peningkatan berat badan yang positif.
Kenyataan rasmi dikeluarkan Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan, memperincikan data perkembangan fizikal gajah-gajah itu hasil laporan pemantauan veterinar terkini.
Berdasarkan laporan peningkatan berat badan terkini (Julai 2026) ketiga-tiga gajah menunjukkan pertambahan berat badan yang memberangsangkan berbanding laporan berkala sebelum ini iaitu seberat 260 kilogram (kg).
MPT dalam kenyataannya menegaskan beberapa fakta penting bagi menjamin kebajikan hidupan liar selain menafikan ia adalah urusan komersil.
Pemindahan gajah ini bukanlah aktiviti jual beli, sebaliknya adalah program konservasi rasmi antarabangsa.
Sebelum pemindahan DAK dilakukan, penilaian teknikal yang rapi dijalankan sejak 2022 bagi memastikan fasiliti di zoo Osaka memenuhi kriteria habitat gajah Asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




