New York: Peminat bola sepak dari seluruh dunia kini berpeluang memiliki sebahagian daripada sejarah Piala Dunia 2026 apabila rumah lelong terkenal Christie’s membuka bidaan bagi pelbagai memorabilia rasmi kejohanan itu, termasuk bola yang digunakan pada perlawanan akhir dan jersi ditandatangani Lionel Messi.
Lelongan dalam talian bertajuk ‘One Goal: An Auction to Benefit the FIFA Global Citizen Education Fund’ akan berlangsung dari 22 hingga 29 Julai dengan semua barangan ditawarkan tanpa harga simpanan.
Hasil jualan akan disalurkan kepada Dana Pendidikan Warga Global Persekutuan Bolasepak Antarabangsa FIFA, sebuah inisiatif yang menyasarkan kutipan AS$100 juta (RM470 juta) bagi memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan sukan untuk kanak-kanak di komuniti kurang mendapat perkhidmatan di seluruh dunia.
Antara barangan paling mendapat perhatian ialah bola rasmi yang digunakan pada final Piala Dunia di Stadium MetLife, East Rutherford, selain bola perlawanan pembukaan di Stadium Azteca, Mexico City serta bola aksi pertama tuan rumah Kanada dan Amerika Syarikat (AS).
Turut dilelong ialah jersi yang ditandatangani Messi, Santiago Gimenez, skuad kebangsaan AS serta pasukan Austria, selain bola yang ditandatangani skuad Austria.
Peminat muzik juga berpeluang membida pakaian yang dipakai artis ketika pertunjukan separuh masa final Piala Dunia pertama dalam sejarah kejohanan, termasuk busana dipakai penyanyi terkenal Shakira dalam video rasmi lagu Dai Dai, iaitu lagu tema rasmi Piala Dunia 2026.
Selain itu, terdapat juga bola edisi khas Earth Ball yang mengandungi senarai artis persembahan separuh masa ditulis tangan oleh vokalis Coldplay, Chris Martin, selain satu lagi bola yang ditandatangani Shakira, bekas bintang Brazil Kaka dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Christie’s berkata, lelongan memorabilia Piala Dunia itu diadakan kurang sebulan selepas rumah lelong berkenaan mencatat rekod sebagai lelongan memorabilia terbesar dunia apabila koleksi mendiang pemilik pasukan NFL Indianapolis Colts, Jim Irsay, dijual dengan nilai keseluruhan AS$105.3 juta (RM495 juta).
Dalam perkembangan sama, Christie’s turut menganjurkan lelongan berasingan dikenali sebagai Art of the Game yang menawarkan arca berbentuk bola sepak setinggi hampir dua meter hasil karya artis kontemporari.
Arca berkenaan kini dipamerkan di sekitar New York dan New Jersey sempena Piala Dunia 2026, dengan sebahagian hasil jualannya akan disalurkan kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang mempromosikan pendidikan seni dan peluang kepada penggiat seni di AS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




