Anwar hubungi PM Norway, suarakan bantahan Malaysia terhadap pembatalan lesen peluru berpandu

Anwar hubungi PM Norway, suarakan bantahan Malaysia terhadap pembatalan lesen peluru berpandu
Anwar hubungi PM Norway, suarakan bantahan Malaysia terhadap pembatalan lesen peluru berpandu

Anwar menyuarakan perkara tersebut melalui panggilan telefon dengan Perdana Menteri Jonas Gahr Støre. Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia membantah sekeras-kerasnya keputusan Norway untuk membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal (NSM) atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu, yang disifatkan sebagai unilateral dan tidak boleh diterima. 

Dalam satu hantaran di laman Facebook pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu disuarakan menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Jonas Gahr Støre.

Beliau berkata, sejak 2018, Malaysia tanpa sebarang keraguan telah memenuhi sepenuhnya setiap kewajipan di bawah kontrak itu. 

“Nampaknya, Norway seolah-olah tidak memberikan layanan dan niat yang sama,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menegaskan bahawa keputusan itu akan memberikan kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia, dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS), selain akan membawa implikasi lebih meluas kepada keseimbangan serantau.

“Kontrak yang ditandatangani ialah instrumen yang bersifat penting. Ia bukan sesuatu yang boleh diambil mudah,” kata beliau.

Jika pembekal pertahanan Eropah itu beranggapan boleh mengingkari perjanjian tanpa sebarang tindakan, Perdana Menteri berkata, kedudukan mereka selaku rakan strategik boleh terhakis.

Kementerian Luar Norway dilaporkan telah menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada langkah negara itu memperketat kawalan eksport.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan peluru berpandu anti-kapal (NSM) itu dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top