Kuala Lumpur: Pengamal media di negara ini dinasihatkan supaya tidak meminggirkan soal jati diri, nilai dan akhlak dalam keterujaan mengejar kepesatan teknologi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu amat penting kerana negara berisiko ‘tergelincir’ sekiranya tidak berwaspada terhadap ancaman yang hadir seiring dengan kemajuan teknologi.
“Harus sentiasa diperingatkan, nasihat, dalam mempertahankan keperluan kebebasan teknologi maklumat dan digital, serta kecerdasan buatan (AI) pada masa sama, teknologi baharu itu tidak harus miskin dan gersang dari segi nilai. Ini juga satu perkara yang perlu dikupas oleh kolumnis-kolumnis semasa.
“Saya percaya kerajaan menerusi Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil turut bertanggungjawab bersama MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dapat membantu bagi pihak media, kita akan mendengar pandangan dan menerima teguran dengan baik kerana dalam hal ini, negara tidak boleh berpecah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia (MPI) – Petronas 2026 yang turut dihadiri Fahmi di sini hari ini.
Anwar berkata sejarah menunjukkan ketika seluruh media dikuasai secara dominan oleh kekuatan Barat, mereka bertindak menentukan sebahagian hala tuju berdasarkan agenda yang dicipta dan dimahukan.
“Sekarang kita berdepan pula kuasa baharu yang memilih untuk mencabar kebebasan dan kedaulatan sesebuah negara dengan menguasai teknologi dan menggunakannya bagi memenuhi hasrat ideologi atau kefahaman budaya yang kadang-kadang asing bagi kita.
“Kalau dulu captive mind (minda terjajah) yang diungkapkan itu secara pandangan yang disokong oleh politik dan kolonial. Sekarang captive mind itu melalui teknologi termasuk digitalisasi. Jadi, ada pertembungan tech transition (peralihan teknologi) dalam kes ini kerana negara terpaksa bergelut untuk menguasai teknologi baharu,” katanya.
Beliau dalam pada itu menghargai peranan MPI yang didukung oleh Petronas, serta peranan Majlis Media Malaysia (MMM) yang mengusahakan langkah dan inovasi media bagi memastikan negara tidak terperangkap dalam naratif minda terjajah.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen pengamal media di negara ini dalam menjalankan tugas mereka.
“Terima kasih (kalian) yang terus mendukung peranan wartawan mempertahankan makna kebebasan dan demokrasi di negara ini, sentiasa memberikan pandangan, teguran, saranan selain daripada liputan biasa,” katanya.
Hadir sama pada majlis malam ini ialah Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Mohd Shukri Ishak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




