am@hmetro.com.my
Tangkak: Wang hasil jual tanah pusaka milik seorang wanita lesap gara-gara terpedaya dua individu menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis kononnya terbabit dengan penggubahan wang haram.
Mangsa berusia 37 tahun bekerja pembantu kedai alat tulis, mendakwa dia telah dihubungi oleh ‘dua pegawai’ terbabit sambil memaklumkan terbabit dalam kegiatan haram itu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata suspek memperdayakan mangsa dengan memintanya membuat bayaran bagi tujuan audit oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
“Mangsa yang percaya melakukan 10 transaksi ke dalam tiga akaun berbeza berjumlah RM91,750 seperti diarahkan suspek.
“Bagaimanapun, mangsa menyedari dia ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Roslan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong mangsa menyerahkan harta atau wang.
Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik penyamaran menerusi panggilan telefon.
© New Straits Times Press (M) Bhd




