am@hmetro.com.my
Kulim: Tiga mangsa yang ditemukan lemas dalam kejadian kepala air di Sungai Sedim, di sini, hari ini ditemui kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi mereka dipercayai mandi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Mohammad Haiqal Izwan Nasir berkata, kesemua mangsa dipercayai melakukan aktiviti riadah dan berkelah di kawasan Tree Top Walk iaitu di kaki kawasan Gunung Bintang sebelum sungai itu dilanda kepala air.
Beliau berkata, mangsa pertama iaitu kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan kira-kira satu km dari tempat dia dipercayai berkelah bersama keluarganya.
“Jarak mangsa kedua iaitu kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan wanita berusia 28 tahun pula ditemui pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa pertama ditemukan.
“Tiga mangsa terbabit dibawa naik oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mangsa di Sungai Sedim, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut ialah Nur Atikah Abdullah, 28, dan sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md Radzi, 3.
Turut maut seorang lagi mangsa dari keluarga berasingan iaitu Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.
Dalam pada itu, Mohammad Haiqal turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika berkelah di kawasan sungai pada musim hujan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




