am@hmetro.com.my
Melaka: Dua lelaki masing-masing didenda RM1,800 dan RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas kesalahan membuat pertaruhan haram perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026.
Hukuman diputuskan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap Pang Kang Liang, 29, dan Chu Shau Hau, 28, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing dalam prosiding berasingan.
Kang Liang didakwa membuat pertaruhan tanpa kebenaran yang sah pada 26 Jun lalu di hadapan premis No 75 & 76-1, Jalan Suria 1, Taman Malim Jaya, kira-kira jam 10.45 malam.
Sementara itu, Shau Hau didakwa melakukan kesalahan sama di tepi Jalan KSB 16, Taman Kota Shahbandar pada 19 Jun lalu, kira-kira jam 12.30 malam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Goh Jee Chee merayu hukuman denda ringan kerana kedua-dua tertuduh tiada rekod lampau dan pengakuan salah mereka menjimatkan masa dan kos mahkamah serta pendakwaan.
Kang Liang bekerja sebagai pembekal ayam mentah dengan gaji RM2,000 manakala Shau Hau baru bekerja sebagai ejen hartanah dengan pendapatan tidak tetap dan menanggung isteri tidak bekerja.
Majistret mengenakan hukuman denda RM1,800 terhadap Kang Liang, manakala Shau hau RM2,800 dan jika gagal membayar mereka akan dipenjara sebulan.
Kedua-dua tertuduh membayar denda itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




