Anwar puji pendirian PBB konsisten suarakan kekejaman di Gaza

Anwar puji pendirian PBB konsisten suarakan kekejaman di Gaza

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN memuji pendirian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang konsisten dalam menyuarakan kekejaman di Gaza.

Katanya, badan dunia itu dilihat tegas dalam mempertahankan kebebasan dan menghormati hak negara dan kaum minoriti.

“Saya berpendapat kita mesti mengakui bahawa ia adalah satu cabaran, namun kami mengagumi ketabahan dan keberanian anda (PBB) termasuk dalam isu yang saya sebut sebelum ini seperti kes Gaza di mana kekejaman dilakukan.

“Anda (PBB) tetap konsisten menyuarakan pandangan anda,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15 di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Gueterres turut menyifatkan Asia Tenggara sebagai rantau yang membawa harapan dalam dunia yang bergolak.

Bahkan, beliau berkata Asia Tenggara dengan kekuatan ekonomi, kepelbagaian budaya dan kepimpinan yang menyumbang kepada keamanan serta kestabilan global.

ASEAN kekal sebagai rakan strategik penting kepada PBB menerusi Perkongsian Komprehensif ASEAN–PBB dan Pelan Tindakan ASEAN–PBB 2026–2030 bagi menghadapi ketidaktentuan global termasuk ketidaksamaan, perubahan iklim, konflik dan cabaran digital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top