nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kajang: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk diselaraskan bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil.
Anwar berkata, peruntukan itu bagi membantu ratusan ribu peniaga kecil dan penjaja di seluruh negara meningkatkan pendapatan mereka.
“Mulanya, saya ingat nak umum (peruntukan) RM100,000 sahaja tetapi memikirkan ratusan ribu penjaja, syarikat, gerai dan persatuan (penjaja) di seluruh negara, jadi kita beri RM1 juta.
“Jadi atur baik-baik (peruntukan itu) dengan maju dan bantu (kerajaan) bagi penjelasan supaya setiap tahun ada peningkatan pendapatan bagi penjaja dan peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Menteri KUSKOP boleh kerjasama dengan persatuan untuk mengetahui purata pendapatan golongan penjaja dan peniaga kecil bagi tempoh tiga tahun lalu.
“Saya nak tahu pendapatan penjaja dan peniaga tiga tahun lalu dengan tahun ini sama ada terdapat peningkatan. Ini cara kita buat penilaian.
“Apa kelemahan dan kekurangan (mempengaruhi peningkatan pendapatan golongan itu). Bagi saya, kalau kita dapat membantu penjaja dan peniaga kecil, mereka akan bantu sejuta keluarga dalam negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




