PETALING JAYA: Jabatan Imigresen tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran integriti oleh mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius dakwaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas yang didakwa melibatkan beberapa pegawai Imigresen di Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan media dan dibangkitkan melalui pelbagai platform media sosial.
Katanya, Imigresen menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan dakwaan tersebut supaya tampil menyalurkannya secara rasmi kepada pihak berkuasa atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Penyaluran maklumat secara terus kepada pihak berkuasa amat penting bagi memastikan kerahsiaan maklumat dan integriti bahan bukti dapat dipelihara.
“Pendedahan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki menyalahi undang-undang secara terbuka sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa dikhuatiri boleh menyebabkan pihak yang terlibat menghentikan kegiatan, mengubah modus operandi atau menghapuskan bahan bukti.
“Sekali gus menyukarkan proses siasatan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, JIM sentiasa terbuka menerima sebarang maklumat berkaitan salah laku pegawai dan memberi jaminan bahawa setiap maklumat yang diterima akan diteliti serta disalurkan untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Jelasnya, seramai 849 pegawai Imigresen telah dikenakan tindakan tatatertib secara kumulatif bagi tempoh 2023 hingga Oktober lalu termasuk 73 pegawai yang dikenakan hukuman buang kerja.
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu sahaja, 96 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib, termasuk 18 pegawai yang dibuang kerja.
“Statistik ini mencerminkan ketegasan JIM dalam mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati melakukan pelanggaran tatatertib, tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” jelasnya.
Tambahnya, JIM akan terus memperkukuh aspek integriti, pematuhan prosedur dan mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan setiap urusan perkhidmatan dilaksanakan secara telus, teratur dan berlandaskan undang-undang.
Terdahulu, sebuah portal mendakwa kegiatan rasuah dalam urusan permohonan Pas Khas Imigresen mencetuskan persoalan serius tentang kemungkinan wujudnya rangkaian sindiket yang melibatkan pihak dalam jabatan kerajaan.
Antara dakwaan paling mengejutkan ialah kewujudan tujun pegawai yang digelar “untouchable” menggunakan nama samaran.
Dakwaan ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat pegawai tertentu yang mempunyai pengaruh atau perlindungan sehingga sukar dikenakan tindakan.
Dakwaan ini turut membangkitkan kebimbangan kemungkinan kemudahan imigresen dieksploitasi bagi membantu warga asing termasuk individu yang dikaitkan dengan sindiket penipuan dalam talian seperti Macau scam dan love scam untuk terus berada di Malaysia. – UTUSAN




