Anwar tiba di Jakarta untuk rundingan tahunan bersama Prabowo

Anwar tiba di Jakarta untuk rundingan tahunan bersama Prabowo

Jakarta: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang dijadualkan berlangsung esok.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur pada 7.40 malam waktu tempatan dan ketibaan beliau disambut wakil Kerajaan Indonesia terdiri daripada Menteri Luar Negeri Sugiono dan Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Pertemuan kali ini merupakan rundingan pertama antara kedua-dua pemimpin negara serumpun itu yang akan berlangsung di Istana Merdeka, Jakarta Pusat, pada pagi esok.

Rundingan seumpama itu kali terakhir diadakan antara kedua-dua negara adalah di Kuching, Sarawak pada 22 Nov 2017.

Sesi kali ini bakal meneroka bidang kerjasama baharu serta menjadi platform bagi kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Terdahulu dalam taklimat media, Syed Mohamad Hasrin berkata Rundingan Tahunan itu merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Indonesia yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan menyeluruh.

Semasa lawatan itu, Anwar turut dijadualkan melawat Sekretariat ASEAN di Jakarta atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan beliau akan menyampaikan ucapan dasar mengenai ASEAN dalam konteks Pengerusi ASEAN oleh Malaysia bagi tahun 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top