Mayat wanita bawah jambatan gemparkan penduduk

Mayat wanita bawah jambatan gemparkan penduduk

harisfadli@hmetro.com.my

Subang Jaya: Penemuan mayat wanita tanpa identiti di bawah jambatan Jalan Jurutera Batu 13, Puchong, di sini, menggemparkan penduduk, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.58 pagi daripada orang awam.

“Mayat dipercayai seorang wanita dewasa dijumpai dalam keadaan tertiarap di atas batu di Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong, Selangor.

“Pihak Forensik hadir di tempat kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal pihak forensik percaya mangsa berada dalam air kira-kira 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang mula kembung.

Katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau barangan peribadi ditemui pada tubuh mangsa.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa berpakaian serba hitam serta berseluar panjang warna hitam.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian yang dijangka diadakan jam 8 pagi esok.

“Mana-mana pihak yang ada kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian, hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K Vigneswaran di talian 0149229233,” katanya.

Menurutnya, segala identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top