Anwar ucap takziah kepada keluarga 6 mangsa nahas Karak

Anwar ucap takziah kepada keluarga 6 mangsa nahas Karak

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga enam mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak di Bentong, Pahang awal pagi semalam.

Anwar berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut berduka cita atas tragedi berkenaan.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa, moga diberikan kekuatan dan ketabahan manakala yang cedera dikurniakan kesembuhan segera.

“Tragedi ini menjadi peringatan kepada kita semua bahawa keselamatan di jalan raya tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu menyaksikan enam lelaki maut di tempat kejadian.

Perkara itu berlaku selepas Toyota Vios dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh berhampiran Klinik Desa Jambu Rias.

Mereka yang maut ialah pemandu kereta, V. Mugilan, 25, dan rakan-rakannya, K. Dineshvaran, 22; K. Alaganathan, 21; A. Kanabati Raja, 19; S. Kiisven, 17 dan M. Paranthaman, 16, manakala pemandu lori berusia 31 tahun cedera parah.

Siasatan awal polis mendapati, kereta dinaiki mangsa dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori terbabit. – UTUSAN

Scroll to Top