
JAGALAH adab-adab ketika bertandang ke hutan dan amalkan panduan yang diajarkan Rasulullah SAW jika tersesat. Foto Canva
Soalan
Apakah ada panduan daripada Islam sekiranya seseorang itu tersesat di dalam hutan atau tersesat jalan?
Jawapan
BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan beberapa kisah beberapa individu yang tersesat di dalam hutan ketika mendaki.
Ada yang dapat diselamatkan dan ada juga yang berakhir dengan tragedi selain ada yang masih belum dijumpai sehingga ke hari ini.
Rasulullah SAW dalam hal ini pernah bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu kehilangan sesuatu (haiwan atau barangan) atau inginkan bantuan sedangkan dia berada di satu tempat yang tiada penghuni, maka hendaklah dia menyeru: ‘Wahai hamba-hamba ALLAH, bantulah aku.’ Sesungguhnya bagi ALLAH di bumi ini terdapat (hamba-hamba-NYA) yang akan menahannya (membantumu).” (Hadis Riwayat At-Tabarani)
Dalam hadis tersebut dinyatakan doa A’inu ‘ibadallah yang bermaksud ‘Bantulah aku wahai hamba-hamba ALLAH’.
Imam Al-Munawi menyatakan maksud daripada hamba-hamba ALLAH itu ialah mereka daripada kalangan roh manusia, jin atau malaikat.
Dalam satu kisah, diriwayatkan Imam Ahmad pernah tersesat ketika dalam perjalanan menunaikan haji lalu beliau mengamalkan hadis ini.
Beliau mengulang-ulang doa tersebut sehinggalah menjumpai semula jalan untuk ke Tanah Suci.
Selain itu, antara adab ketika memasuki hutan termasuklah menjaga percakapan agar tidak celupar atau tidak mengungkapkan kata-kata yang tidak baik selain menjaga hati agar sentiasa mengingati ALLAH selain bertawakal kepada-NYA ketika melakukan pendakian dan menuruninya.



