Washington: Elon Musk menjadi trilionair pertama di dunia susulan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat roket miliknya, SpaceX, baru-baru ini, lapor Yahoo! Finance.
Tahap kekayaan individu seperti itu sebelum ini dianggap di luar bayangan dan lazimnya hanya dikaitkan dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) ekonomi utama dunia atau nilai syarikat global terbesar.
Gelaran baharu Musk hadir ketika kelompok bilionair terus berkembang daripada taikun teknologi kepada selebriti.
Lonjakan kekayaan melampau itu berlaku ketika semakin ramai penduduk di seluruh dunia bergelut membayar bil harian sehingga ramai menyifatkan kemunculan trilionair pertama sebagai contoh membimbangkan jurang kekayaan yang semakin melebar.
Biro Banci Amerika Syarikat (AS) melaporkan, populasi bumi kini mencecah hampir 8.2 bilion orang, dan jika AS$1 trilion (kira-kira RM4.07 trilion) dibahagikan sama rata, setiap penduduk di planet ini akan menerima kira-kira AS$122 (kira-kira RM496.42).
Dari segi skala ekonomi, AS$1 trilion (RM4.07 trilion) adalah lebih daripada dua kali ganda unjuran KDNK tahunan Afrika Selatan bagi 2026 yang dianggarkan hampir AS$480 bilion (kira-kira RM1.95 trilion), menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Hanya kira-kira 21 negara ketika ini mempunyai KDNK melebihi AS$1 trilion (kira-kira RM4.07 trilion), dengan AS dan China jauh mendahului ekonomi lain.
Menurut data terkini Bank Rizab Persekutuan St Louis, AS$1 trilion (kira-kira RM4.07 trilion) itu juga mampu membeli hampir 2.5 juta rumah berdasarkan harga median jualan rumah di AS sebanyak AS$403,20 (kira-kira RM1.64 juta).
Dalam pada itu, dengan purata harga petrol di AS mencecah hampir AS$4.11 (kira-kira RM16.72) segelen atau kira-kira 3.78 liter, jumlah itu juga boleh membeli lebih 243 bilion gelen atau kira-kira 919 bilion liter petrol biasa.
Menurut Forbes, pengasas bersama Google, Larry Page kini adalah individu kedua terkaya di dunia dengan nilai bersih hampir AS$293 bilion (RM1.19 trilion) atau AS$707 bilion (kira-kira RM2.88 trilion) di bawah paras AS$1 trilion (kira-kira RM4.07 trilion).
Kekayaan gabungan Larry Page, Sergey Brin, Jeff Bezos dan Larry Ellison yang berada di belakang Musk dalam senarai Forbes pula melebihi AS$1.04 trilion (kira-kira RM4.23 trilion) setakat Jumaat lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




