redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memandang serius isu tular berkaitan amalan berunsur diskriminasi berasaskan bahasa dalam sistem agihan tempahan sebuah aplikasi perkhidmatan e-hailing yang didakwa tidak memberikan agihan secara adil dan saksama kepada semua pemandu.
APAD dalam satu kenyataan media memaklumkan, perkhidmatan e-hailing wajib mematuhi syarat pelesenan dan syarat khas di bawah Perkara 9, Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) Syarat Khas (Bahagian III – Operasi) Kenderaan e-Hailing yang menuntut pemegang memastikan sistem agihan tempahan yang ditetapkan adalah adil dan saksama kepada semua pemandu.
Katanya, sebarang pelanggaran terhadap syarat berkenaan adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12A(9), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 tetapi tidak lebih daripada RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua- duanya.
“APAD komited untuk memastikan kesinambungan industri perkhidmatan e-hailing sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang adil, telus, dan inklusif, serta bebas daripada sebarang unsur diskriminasi terhadap semua pihak berkepentingan,” katanya.
Terdahulu, tular video di TikTok seorang lelaki mempersoalkan sistem sebuah syarikat e-hailing selepas mendakwa berlaku diskriminasi kerana wujud sistem memberi kelebihan pemandu fasih berbahasa Mandarin boleh mendapat tempahan dengan harga lebih tinggi.
Video itu mendapat perhatian banyak pihak termasuk Gabungan E-hailing Malaysia (GEM) yang menolak segala bentuk diskriminasi atau isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) kerana boleh memecahbelahkan serta menindas pemandu e-hailing di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd