Kehadiran 6 import beri impak besar buat TFC

Kehadiran 6 import beri impak besar buat TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pemain baharu Terengganu FC (TFC), Mohamad Saiful Jamaluddin akui kehadiran enam tonggak import memberikan impak yang begitu positif buat skuad Penyu itu.

Bekas tonggak Sri Pahang FC musim lalu itu berkata, impaknya bukan hanya kepada pasukan malah kepada pemain sendiri yang kini bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Bagaimanapun bekas pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu sedar persaingan untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama bukan hanya dengan pemain import sahaja malah juga dengan pemain tempatan.

Musim ini TFC mengekalkan pemain kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov sebelum menyambar lima lagi tonggak import iaitu Yann Mabella (Perancis), Diego Landis (Brazil), Gabriel Silva (Brazil), Careca (Brazil) dan Junior Ngong Sam (Cameroon).

“Syukur Alhamdulillah saya tidak mengambil masa yang agak lama untuk serasi dengan rakan sepasukan biarpun dikategorikan ‘orang baharu’ dalam TFC.

“Lebih menggembirakan, saya bukan saja serasi dengan rakan sepasukan tapi dengan taktikal yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan yang diketuai Badrul Afzan Razali pun saya cepat menguasai.

“Namun sejujurnya ia bukan tiket mudah buat saya untuk bergelar pemain utama, sebaliknya perjalanannya begitu sukar kerana perlu bersaing dengan pemain lain yang lebih berpengalaman.

“Tapi saya tidak akan berputus asa dan terus berusaha untuk memenangi hati barisan kejurulatihan dengan memperagakan aksi terbaik sama ada dalam latihan mahupun ketika aksi persahabatan sebelum ini.

“Pada masa sama kehadiran enam tonggak import itu mampu memberikan impak yang positif kerana semuanya memperagakan komitmen terbaik buat pasukan,” ujar pemain kelahiran Kampung Teris, Kuala Lipis, Pahang kepada NSTP.

Ketika ditanya aksi pertama pasukannya berdepan Penang FC pada Ahad ini di Stadium Bandaraya, pemain berusia 23 tahun itu akui ia bukan perlawanan yang mudah lebih-lebih lagi bermain di tempat lawan.

“Tiga mata pertama dalam saingan Liga Super begitu penting buat mana-mana pasukan untuk meningkatkan lagi motivasi, tapi ia tugas berliku, tapi kami tidak mahu lepaskan peluang untuk mengutip mata biarpun menjadi pasukan pelawat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top