anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biarpun bencana banjir besar belum melanda negara, namun persiapan menghadapi pelbagai kemungkinan sudah bermula apabila Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggerakkan ribuan anggota serta memperkemas aset penyelamat bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Bagi APM, persediaan bukan hanya memastikan bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda dan kelengkapan operasi berada dalam keadaan baik, sebaliknya turut membabitkan kesiapsiagaan anggota, penyelarasan logistik serta keupayaan bertindak pantas apabila penduduk terperangkap atau diarahkan berpindah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Ghazali Abd Rahman berkata, arahan pengoperasian sudah dikeluarkan kepada semua negeri bagi memastikan kesiapsiagaan aset dan anggota berada pada tahap optimum sepanjang musim tengkujuh.
Menurutnya, pemeriksaan dan penyelenggaraan aset darat serta air turut dilaksanakan, selain latihan dipertingkat bagi memastikan anggota bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan bencana.
Katanya, lebih 7,000 pegawai dan anggota APM sepenuh masa boleh digerakkan sekiranya berlaku banjir, selain dibantu pasukan tambahan serta anggota sukarelawan jika berdepan bencana berskala besar.
“Bagi menghadapi MTL kali ini, APM turut mengumumkan penggemblengan kekuatan seramai 12,927 anggota di seluruh negara yang dibahagikan kepada lima zon operasi.
“Zon Utara membabitkan 1,757 anggota, Zon Tengah (2,210), Zon Selatan (1,703), Zon Timur (3,108) manakala Zon Borneo mencatatkan kekuatan terbesar dengan 4,149 anggota,” katanya.
Ghazali berkata, kekuatan itu membolehkan APM memperkukuh operasi di kawasan berisiko banjir, khususnya negeri di Pantai Timur Semenanjung serta kawasan lain yang dikenal pasti mempunyai rekod kejadian banjir.
Masuk fasa ‘sibuk’ sejak awal Oktober lalu
Sejak awal Oktober lalu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara mula memasuki fasa ‘sibuk’ apabila perlu menangani insiden banjir yang melanda beberapa negeri.
Bertindak selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), komitmen petugas dan anggota penyelamat APM diuji di lapangan menerusi operasi menyelamat, pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang pantas serta pemantauan berterusan di kawasan berisiko tinggi.
Di Negeri Sembilan, APM Kuala Pilah bertindak tangkas mengaktifkan dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol dan Dewan Desa Dangi susulan banjir yang melanda Mukim Johol pada 29 Oktober lalu.
Kecekapan anggota APM memindahkan mangsa terjejas mendapat penghargaan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah yang bekerjasama erat bersama pelbagai agensi penyelamat dan sukarelawan.
Ia disusuli dengan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Orang Asli Guntur dan Kampung Melekai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Sementara itu di utara tanah air, APM Kedah menangani bencana banjir di daerah Kubang Pasu, Pendang, dan Yan yang berlaku secara berperingkat.
Di Kubang Pasu, hujan lebat berterusan pada awal petang 17 Oktober menyaksikan anggota Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) dikerahkan ke Mukim Temin bagi menyelamatkan penduduk Kampung Rasak, Kampung Baru, dan Kampung Lembah Keriang, termasuk bertindak pantas memindahkan seorang warga emas terlantar ke tempat selamat.
Di Yan pula, APM menggerakkan operasi kesiapsiagaan awal pada 25 Oktober di Kampung Teroi Bukit dan Kampung Titi Teras berikutan paras air sungai utama mencecah tahap bahaya.
Tugas sama dilakukan bagi membantu penduduk di Kampung Teroi, Kampung Titi Teras, dan Kampung Teroi Bukit selain pembukaan tiga PPS untuk menempatkan mangsa banjir.
Cabaran penugasan APM turut diperluas ke negeri Sabah apabila Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) Kundasang memperketat pemantauan pada 20 Oktober akibat ancaman banjir kilat dan tanah gelongsor berikutan cuaca hujan berterusan.
Anggota APM digerakkan ke tiga lokasi kritikal iaitu di Pine Resort Kundasang yang mengalami limpahan air sehingga membanjiri kawasan parkir dan menjejaskan bangunan premis, serta pemantauan impak tanah gelongsor yang menjejaskan kediaman di Kampung Dumpiring Atas, selain pengawasan rapi di Kampung Gorowot.
Pihak APM menggesa orang ramai, khususnya penduduk yang menetap di kawasan berisiko tinggi, supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca semasa
© New Straits Times Press (M) Bhd




