tahir.alhamzah@nst.com.my
Cabaran penyanyi berkaliber, Ernie Zakri kini bukan lagi sekadar mempertaruhkan vokal lantang atau nada tinggi, sebaliknya meneroka kedalaman emosi menerusi pelancaran album terbaharunya bertajuk ATMA.
Menampilkan tujuh trek yang saling berkait, penyanyi berusia 34 tahun itu mengambil pendekatan lebih berani dan terarah dengan menggabungkan muzik, visual serta penceritaan intim untuk mengajak pendengar menyelami fasa cinta, kerinduan, kekecewaan dan penerimaan.
Ernie atau pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, ATMA yang membawa maksud jiwa mencerminkan rasa yang tersimpan dalam diri setiap insan, termasuk perkara yang tidak mampu dilihat dari luar.
“Jiwa bukan sesuatu yang mudah dijelaskan. Ia berkaitan apa yang kita rasakan, perkara yang kita pendam serta pengalaman yang membentuk diri.
“Namun, menghasilkan karya yang begitu peribadi hadir dengan rasa takut. Takut orang tidak memahami atau tidak merasai apa yang cuba disampaikan. Tetapi itulah proses untuk bersikap terbuka dan berani berkongsi emosi sebenar,” katanya.
Berbeza dengan tanggapan sesebuah album penuh perlu mengandungi belasan lagu, pemilik vokal mantap ini memilih susunan yang padat dan tegas melarang sebarang lagu sekadar pengisi atau filler.
“Saya tidak percaya kepada lagu ‘filler’. Bagaimana perasaan komposer sekiranya kita memberitahu lagu mereka sekadar pengisi untuk mencukupkan jumlah trek?
“Dalam ATMA, dari lagu pertama hingga ketujuh adalah sebahagian daripada jalan cerita. Jika pendengar melangkau lagu ketiga atau keempat, cerita jadi tidak lengkap ibarat membaca buku yang dilangkau perenggannya,” jelasnya.
Menerusi single Sejambak Bunga ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh, Ernie turut mempamerkan kematangan seni apabila menyuarakan mesej memaafkan dan terus berbuat baik, sekali gus melangkaui kekuatan teknikal vokal yang selama ini menjadi identitinya.
Album ATMA yang diterbitkan dengan konsep visual lebih gelap dan intim ini boleh didengari di semua platform penstriman muzik utama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




