am@hmetro.com.my
Kangar: Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyerahkan sumbangan RM34,000 hasil kutipan orang ramai kepada mangsa kebakaran di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Sumbangan berkenaan disalurkan kepada 10 ketua isi rumah yang mengalami kerosakan kediaman akibat kebakaran bagi membantu proses pembinaan semula rumah mereka.
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis Ku Chik Ku Mat Esa dengan disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan MPB Azlan Abdul Aziz berkata, penyerahan itu berjaya menyempurnakan amanah penyumbang tabung berkenaan bagi meringankan beban keluarga mangsa mengikut tahap kerosakan yang dialami.
“Bagi pihak MPB, kami merafak sembah menjunjung kasih ke atas Tuanku Syed Faizuddin yang sudi berangkat menyaksikan majlis penyerahan sumbangan pada hari ini, selain merakamkan penghargaan kepada JKM Perlis serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas sokongan berterusan dalam menjayakan misi bantuan seperti ini.
“Sumbangan ini membuktikan keprihatinan tinggi rakyat Malaysia dalam membantu mangsa bencana di seluruh negara, malah ini bukan kali pertama kami menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran kerana baru-baru ini kami turut menyerahkan sumbangan sama di Kota Bharu, Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Berhad turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi membantu mangsa kebakaran terbabit.
Dalam pada itu, MPB turut merakamkan penghargaan kepada para penyumbang yang sentiasa bersedia menjayakan misi kemanusiaan berkenaan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima menerusi akaun Bank Muamalat, 14010008843712.
Pada 13 Jun lalu, lapan rumah dilaporkan musnah sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kerosakan dalam kebakaran di Kampung Seberang Alor, Perkampungan Diraja Kuala Perlis dekat sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




