am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa projek atau Surat Setuju Terima (SST) Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak tidak dibatalkan seperti didakwa, sebaliknya hanya proses tender dan penganugerahan SST baharu yang ditangguhkan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjelaskan semua projek dalam senarai yang diluluskan Kementerian Ekonomi kekal untuk dilaksanakan.
“Hakikatnya, pengurusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kewangan mengambil langkah untuk menangguhkan tender dan penganugerahan SST baharu. Tiada SST dikeluarkan yang kemudiannya, projek dibatal.
“Hanya dalam usaha menangani terlebih komitmen dan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor, penjadualan pelaksanaan projek seharusnya dirancang semula, dikawal dan diurus sebaiknya mengikut kemampuan peruntukan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata sebahagian projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang diluluskan bagi 2026 dibatalkan berikutan ketiadaan penyaluran dana walaupun peruntukan sudah tersedia.
Bagaimanapun, Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menafikan dakwaan itu dan memaklumkan penangguhan pengeluaran SST baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang sudah diluluskan.
Amir Hamzah, berkata kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan kepentingan projek jalan luar bandar.
Katanya, perbelanjaan sebenar dan peruntukan sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI adalah tiga kali ganda lebih besar, berbanding lima tahun sebelumnya, iaitu RM11 bilion, berbanding RM3.72 bilion.
“Perbelanjaan tahun ini saja mencecah RM3 bilion iaitu melebihi perbelanjaan jalan luar bandar untuk lima tahun antara 2017 hingga 2021,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




