am@hmetro.com.my
Yan: Husna Syakirah Abd Halim yang kehilangan ibu bapanya selepas terbabit kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak, semalam tidak menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ke-16 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Mohd Badrul Hisyam Muhamad Alias berkata, pihak universiti masih menunggu maklum balas daripadanya berhubung keperluan serta bantuan lanjut yang diperlukan.
“Kita tidak mahu membebankan penuntut berkenaan dengan pelbagai urusan dan akan cuba mempermudahkan segala perkara yang boleh dibantu,” katanya.
Menurutnya, UMK menghulurkan bantuan kewangan dan sokongan kebajikan kepada keluarga penuntut yang terbabit dalam tragedi kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan ibu bapanya.
Katanya, pihak universiti memperuntukkan bantuan wang tunai RM2,000 kepada Husna Syakirah, 23, untuk membantunya.
“Bantuan berkenaan sudah diserahkan kepada pihak berkaitan bagi meringankan beban keluarga terbabit.
“UMK akan membantu apa sahaja yang diperlukan keluarga mangsa mengikut kemampuan, termasuk urusan berkaitan kebajikan dan keperluan mereka.
“Kami juga memberikan sokongan moral kepada penuntut terbabit dan memastikan kebajikan serta keadaan emosi dan mentalnya sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, pihak universiti turut menyediakan khidmat kaunseling menerusi pegawai psikologi bagi membantu penuntut berkenaan menghadapi trauma serta menguruskan tekanan emosi susulan kejadian itu.
Katanya, UMK juga bersedia membantu memudahkan segala urusan berkaitan keluarga mangsa, termasuk pengurusan yang diperlukan sekiranya diminta oleh pelajar terbabit.
“UMK menggerakkan dua pasukan terdiri daripada staf dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi membantu urusan berkaitan kejadian berkenaan,” katanya.
Ibu bapa kepada penuntut program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) dengan Kepujian itu, Abd Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sara Abd Rahman, 58, maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki terbabit kemalangan dengan bas persiaran yang membawa 30 penumpang.
Ketika itu, pasangan suami itu dan anak mereka itu dalam perjalanan untuk menghadiri Istiadat Konvokesyen UMK Husna Syakira yang dijadualkan berlangsung hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




