APMM turun ke perkampungan nelayan untuk bendung pengedaran, penagihan dadah

APMM turun ke perkampungan nelayan untuk bendung pengedaran, penagihan dadah

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan penyeludupan dadah bernilai lebih RM18.5 juta dalam tempoh dua tahun bermula 2023 hingga bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, rampasan itu membabitkan 95.4 kilogram pelbagai jenis dadah seperti methamphetamine, ganja, ekstasi dan yaba, selain 179 liter cecair kimia prekursor dadah sintetik.

“Seramai 15 individu diberkas dan kini disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman serta ketua-ketua agensi di bawah kementerian.

Rosli berkata, sejak penubuhan pada 2005, APMM aktif menjalankan rondaan di kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ bagi aktiviti penyeludupan, khususnya di sempadan perairan negara.

“Usaha ini selaras aspirasi KDN untuk memperkukuh tindakan menyekat penularan jenayah dadah yang sudah berlarutan lebih empat dekad dalam masyarakat,” katanya.

Menurutnya, selain operasi di laut, Maritim Malaysia turut melaksanakan operasi bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di kawasan komuniti maritim termasuk perkampungan nelayan yang berisiko tinggi.

“Kami turut ‘turun padang’ ke kampung nelayan bagi membendung pengedaran dan penagihan dadah yang boleh mempengaruhi generasi muda,” katanya.

APMM turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) dan pelbagai agensi lain melalui jaringan risikan dan operasi bersepadu secara berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top