NEW YORK: Arab Saudi menyelaras delegasi negara Arab ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan usaha menangani kemelut Israel-Palestin.
Wakil tetap Arab Saudi ke PBB, Abdallah Al-Mouallami, bertemu dengan wakil tetap China ke PBB, yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bulan ini, bagi membincangkan perkara itu.
Ia antara usaha Arab Saudi memimpin negara Arab lain memberi maklumat kepada UNSC mengenai serangan Israel terhadap rakyat Palestin, supaya masyarakat antarabangsa dapat menunaikan tanggungjawab melindungi orang awam.
Mesyuarat turut dihadiri Faisal Al-Haqbani, iaitu pegawai jawatankuasa politik khas delegasi tetap Arab Saudi ke PBB.
Al-Mouallami turut bertemu dengan Presiden Perhimpunan Agung PBB, Volkan Bozkır, dalam usaha Arab Saudi memimpin gerakan negara Islam untuk Palestin.
Pertemuan Kumpulan Islam dengan Presiden Perhimpunan Agung PBB itu bertujuan untuk menjelaskan mengenai serangan Israel baru-baru ini termasuk menggesa masyarakat antarabangsa melindungi orang awam.
Arab Saudi selalu mendahului sokongan kepada perjuangan Palestin di PBB, sebelum masyarakat antarabangsa berbuat demikian.
Kelmarin, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, bercakap dengan Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki, menerusi panggilan telefon.
Dalam perbualan itu, beliau menegaskan pihaknya mengutuk amalan haram yang dilakukan pihak berkuasa Israel dan perlu tindakan segera untuk menghentikan pencabulan undang-undang dan nilai kemanusiaan antarabangsa.
Susulan permintaan Arab Saudi, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincang keadaan di Baitulmaqdis dan Gaza
Mesyuarat antara menteri luar negara anggota OIC itu juga bermatlamat menangani serangan berterusan oleh Israel di wilayah Palestin. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




