TNB perkukuh peranan agenda peralihan tenaga

TNB perkukuh peranan agenda peralihan tenaga

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini komited untuk terus memainkan peranan utama dalam memacu agenda peralihan tenaga negara serta mengakui keperluan segera menangani cabaran perubahan iklim, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Shamsul Ahmad.

Beliau berkata, TNB turut diamanahkan untuk memastikan bekalan elektrik kekal stabil, mudah diakses dan terjamin bagi jutaan isi rumah, perniagaan serta industri di seluruh negara.

Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, TNB terus berpandukan prinsip trilema tenaga, iaitu mengimbangi keterjaminan bekalan tenaga, kemampuan kos dan kemampanan dalam mengharungi peralihan ke arah masa depan yang lebih mampan.

“Kami giat melabur dalam penjanaan tenaga yang lebih bersih, memperluas portfolio tenaga boleh baharu serta mengurangkan intensiti karbon operasi kami. Pada masa sama, kami memperkukuh dan memodenkan grid elektrik bagi menyokong integrasi tenaga boleh baharu yang lebih meluas, di samping meningkatkan fleksibiliti dan daya tahan sistem,” kata Shamsul.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada hari pertama Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2026 (ETCON 2026) di sini, hari ini. Acara itu menghimpunkan lebih 4,000 peserta tempatan dan antarabangsa.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah serta Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Shamsul berkata, komitmen TNB dalam menyediakan masa depan tenaga yang mampan dan boleh dipercayai dicerminkan menerusi pencapaian syarikat utiliti nasional itu yang merekodkan kadar gangguan bekalan elektrik System Minutes hanya 0.15 minit pada 2025, jauh lebih baik berbanding penanda aras global di bawah 1.5 minit.

Selain itu, beliau berkata, penarafan MSCI ESG TNB turut dinaik taraf kepada AA pada 2026 daripada A pada 2025 sebagai pengiktirafan terhadap usaha kemampanan dan standard tadbir urus syarikat utiliti nasional itu.

“Kami terus bekerjasama dengan pemain industri dan peneraju teknologi antarabangsa selain melabur dalam peluang infrastruktur serta peralihan tenaga di luar negara kerana kami percaya industri ini tidak bergerak secara bersendirian, sebaliknya berkembang melalui kerjasama dan pertukaran kepakaran,” kata Shamsul.

Mengenai ETCon26, beliau berkata, persidangan itu memainkan peranan penting dalam menghimpunkan aspek dasar, industri, pelaburan dan inovasi di bawah satu platform.

Shamsul berkata, TNB mengiktiraf bahawa kemajuan dalam sektor ini bergantung kepada kerjasama menyeluruh, dengan dasar menentukan hala tuju, industri memacu pelaksanaan, pelabur menyediakan sokongan modal, manakala inovasi membuka peluang baharu dan kesemua elemen itu tidak boleh bergerak secara berasingan.

Katanya, tema persidangan tahun ini, “Tenaga dan AI: Sinergi bagi Peralihan Tenaga”, dipilih secara khusus bagi mencerminkan teknologi utama era ini memandangkan kecerdasan buatan (AI) terbukti memainkan peranan penting dalam memacu transformasi menyeluruh industri tenaga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top