KLUANG – Arahan Pas supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) mencerminkan realiti politik Johor apabila gabungan itu tidak mempunyai laluan mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berdasarkan pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hanya BN dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan negeri.
Menurut beliau, BN bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH di 51 kerusi, sementara PN yang diwakili PAS dan Bersatu hanya bertanding di 27 kerusi.
“Pertama, kalau kita lihat pada hari penamaan calon, hanya ada dua parti sahaja yang mampu membentuk kerajaan negeri iaitu Barisan Nasional yang bertanding di 56 kerusi dan PH.
“PN pula, Pas bertanding 11 kerusi dan Bersatu 16 kerusi, jumlahnya 27. Bercantum berdua pun dia tidak boleh tubuh kerajaan,” katanya ketika diminta mengulas arahan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli dan penyokong parti itu mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.
Beliau ditemui selepas Karnival Hari Keluarga Kita Warga Angkatan Tentera Malaysia Zon Selatan di Bandar Impiana, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, PN juga dilihat tidak mempunyai kesepakatan yang kukuh apabila wujud kenyataan bercanggah antara PAS dan Bersatu berhubung soal kerjasama selepas pilihan raya.
“Maknanya mereka terpaksa pakai PN sebab waktu sudah suntuk ketika itu, tetapi mereka tidak bekerjasama. Jadi mereka tidak akan dapat membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil bagi menghadapi pelbagai cabaran semasa serta memastikan kesinambungan pentadbiran dan pembangunan negeri.
Katanya, rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan keupayaan sesebuah parti membentuk kerajaan yang mampu mentadbir dengan berkesan, bukannya menjadikan pilihan raya sebagai ruang percubaan politik.
“Itulah matlamat demokrasi dan pilihan raya, iaitu memilih kerajaan yang lebih baik supaya keadaan rakyat menjadi lebih baik,” katanya.
Sebelum itu, Pas dilaporkan mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada UMNO-BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada gabungan berkenaan.



