Arbeloa perlu urus ego pemain jika mahu berjaya bersama Real

Arbeloa perlu urus ego pemain jika mahu berjaya bersama Real

Madrid: Jurulatih baharu Real Madrid, Alvaro Arbeloa percaya kejayaan bersama juara Eropah 15 kali itu hanya boleh dicapai dengan pengurusan ego pemain di kelab secara berhati-hati.

Los Blancos akan menentang Monaco pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (ECL), awal pagi Rabu ketika mereka berusaha mengukuhkan kedudukan dalam kelompok lapan teratas fasa liga dan menutup tempoh yang bergelora.

Kekalahan di final di Piala Super Sepanyol menentang Barcelona yang menjadi perlawanan terakhir Xabi Alonso sebagai jurulatih dan pengenalan Arbeloa di Copa del Rey yang memalukan jelas menggoncang kelab, dengan penyokong menunjukkan rasa tidak puas hati mereka pada Sabtu apabila meniup wisel ke arah pemain sendiri.

Madrid menewaskan Levante 2-0 dalam La Liga tetapi terdapat tanda protes yang besar, dengan Arbeloa dan pemain bintang, Vinicius Junior serta Jude Bellingham menjadi sasaran utama.

Walaupun menewaskan Barcelona dalam El Clasico pada Oktober, detik kejatuhan Alonso bermula apabila beliau menukarkan Vinicius dan pemain Brazil itu marah.

Alonso turut mengecewakan Fede Valverde dengan menurunkannya di posisi bukan asal dan menukar Jude Bellingham sehingga tekanan dari bilik persalinan akhirnya memaksanya keluar.

Jurulatih dari Basque itu mengembalikan Vinicius dan Bellingham ke status bintang hampir tak tersentuh, tetapi keputusan tidak seperti diharapkan dan akhirnya Alonso terpaksa pergi.

Pendekatan Arbeloa nampaknya ialah memberi perhatian dan pujian kepada pemain paling berbakat di kelab seperti yang dilakukan Carlo Ancelotti dan Zinedine Zidane semasa tempoh kejayaan mereka.

Walaupun Vinicius bergelut dalam kekalahan di pusingan kedua Copa menentang Albacete, Arbeloa memuji pemain itu secara meluas walaupun dalam keadaan mencabar.

“(Dia mahu) membawa pasukan di bahunya, menyerang dan tidak pernah bersembunyi, itulah Vini yang saya mahu lihat,” kata Arbeloa.

Beliau turut menekankan pencapaian Vinicius sebelum ini selepas pemain itu dikecam ketika menentang Levante, menekankan bahawa cara terbaik adalah memberinya bola pada setiap peluang.

“Saya akan meminta rakan sepasukannya mencari dia lebih kerap, beri bola sebanyak mungkin,” kata Arbeloa.

“Saya bangga menjadi jurulatihnya.”

Bellingham beraksi sangat lemah menentang Barca di final Piala Super Sepanyol dan hanya menjaringkan satu gol dalam 11 perlawanan terakhir.

“Secara dekat, dia lebih baik daripada di televisyen, dari segi pengalaman, kematangan, kepimpinan,” kata Arbeloa mengenai pemain England itu pada Sabtu.

“Dia salah seorang pemimpin pasukan sama seperti Kylian (Mbappe), Vini atau Fede. Mereka adalah pemain yang dipanggil untuk melakukan perkara besar untuk Real Madrid dan apabila keadaan tidak berjalan baik, kita perlu sentiasa mencari mereka. Kita perlu buat mereka gembira.”

Bukan sahaja pemain yang perlu dijaga oleh Arbeloa, tetapi presiden kelab, Florentino Perez.

Apabila ditanya mengenai penyokong yang bersorak meminta presiden meletak jawatan, Arbeloa menukar nada sedikit mengenai suasana di Bernabeu, setelah berkata penyokong berhak menyuarakan pendapat mereka.

“(Bunyi wisel) bukan dari orang yang tidak menyayangi Florentino, ia dari orang yang tidak menyayangi Real Madrid,” kata Arbeloa, menegaskan kesetiaannya kepada ketua Madrid itu.

“Kita bernasib baik mempunyai presiden yang juga orang paling penting bersama Santiago Bernabeu, dalam sejarah kelab ini.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top