Ariff idam sarung jersi Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Kedah, Ariff Farhan Md Isa mahu kembali mengintai tempat dalam skuad kebangsaan sekiranya berjaya membina kembali nama dalam Liga Malaysia (Liga M) selepas bergelut dengan kecederaan lama sebelum ini.

Pemain berusia 25 tahun itu sering kali dibelenggu kecederaan lama di bahagian lutut sejak berhijrah ke PKNS FC pada musim 2019 selain misinya untuk cuba berada di prestasi sebenar bersama Felda United musim lalu juga tidak berjalan lancar disebabkan Liga M hanya berlangsung separuh musim saja.
Tetapi, Ariff nekad bangkit semula tahun ini bersama Kedah yang pernah disertainya dari 2016 hingga 2018 dengan sasaran merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya.

Namun dia sedar perkara itu bukan mudah dan memerlukan kerja keras bagi memastikan prestasinya berada di tahap terbaik dalam saingan Liga Super selain berharap tidak dibelenggu kecederaan serius.

“Apabila saya keluar dari Kedah pada 2019, memang sedar prestasi agak tidak menentu dan pada masa itu, saya tahu hati saya memang nak patah balik kembali ke Kedah. Saya cuba lagi dengan Felda United pada musim lalu, dan sedikit sebanyak saya dapat rasa saya di landasan betul, tetapi belum puas sebab liga hanya berlangsung separuh musim sahaja.

“Kali ini, saya tidak mahu toleh ke belakang lagi dan sekiranya saya mampu buktikan kembali prestasi terbaik saya, tidak mustahil hasrat saya untuk kembali mendapat tempat dalam skuad kebangsaan tercapai,” katanya.

Kali terakhir Ariff berada dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan pada 2018 untuk menghadapi perlawanan bertemu Mongolia sebelum namanya digugurkan pada Jun tahun sama ketika persediaan menghadapi perlawanan persahabatan bertemu Fiji.-H.Metro

Malay News
Sports Desk